SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas dihempap blok konkrit ketika bermain di hadapan rumahnya dalam kejadian di Kampung Telaga Papan di Pasir Puteh, Kelantan.Dalam kejadian pukul 2.30 petang Jumaat, Mohammad Yusof Nor Ismail dipercayai sedang bermain mengorek pasir bersama bapa saudaranya, Mohd Yunus Nasir yang sebaya dengannya, di kawasan terdapat blok konkrit berkenaan. Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, ahli keluarga memaklumkan kedua-dua kanak-kanak itu terjatuh ke dalam lubang pasir sebelum mendapati mereka dihempap simen konkrit akibat hakisan pasir.“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan keluarga kemudian menghubungi Klinik Kesihatan Cherang Ruku sebelum penolong pegawai kesihatan mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia,” katanya.Beliau berkata, berdasarkan keterangan saksi, seorang lagi kanak-kanak mengalami kecederaan pada bahagian leher.Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala mayat Mohammad Yusof dalam proses bedah siasat.