suria

Pengajaran daripada detik-detik bersejarah Malaysia

Datuk Mohammed Hussein bersama naskhahnya, 'How Malaysia Missed 7 Chances at Nation Building'. -Foto Izzrafiq Alias

MENCURAHKAN khidmat lebih daripada tiga dekad dalam sektor perbankan dan kewangan, Datuk Mohammed Hussein akhirnya menikmati persaraan yang penuh bermakna.

Walaupun sudah bersara, semangat juang beliau terhadap negara dan rakyat tidak pernah padam.

Terbaharu, beliau melancarkan sebuah buku yang sarat dengan pemikiran dan analisis mendalam mengenai sejarah negara berjudul How Malaysia Missed 7 Chances at Nation Building.

Naskhah setebal 216 halaman yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu, menyusuri beberapa detik penting dalam sejarah negara dan menganalisis bagaimana ia berpotensi untuk mengubah landskap Malaysia.

Mengulas mengenai penerbitan buku tersebut, Mohammed yang berusia 75 tahun, mengungkapkan bahawa idea untuk menulis buku ini tercetus selepas lawatannya ke Jakarta pada 2018.

"Semasa menonton sebuah filem tentang Sukarno, presiden pertama Indonesia, yang mengisytiharkan kemerdekaan hanya dua hari selepas Jepun menyerah kalah, saya terfikir, mengapa Malaya tidak melakukan perkara yang sama?

"Sebaliknya, pemimpin kita menunggu British pulang tiga minggu kemudian. Seandainya para pemimpin kita menunjukkan keazaman dan mengisytiharkan kemerdekaan, dan mengatur penentangan terhadap Komunis, semangat 'kita berjuang untuk kemerdekaan dengan darah kita' akan menjadi sebahagian daripada sejarah.

"Ia akan mengubah jiwa orang Melayu daripada sifat 'mudah mesra dan santai' kepada jiwa yang lebih keras.

"Walaupun British akan kembali dan memerintah semula seperti yang mereka lakukan tiga minggu selepas Jepun menyerah kalah, British akan lebih menghormati orang Melayu dan aspirasi mereka untuk memperbaiki keadaan ekonomi sendiri berbanding kaum pendatang," ujar bekas timbalan presiden Maybank itu.

Interview with CGC chairman and author of “How Malaysia Missed 7 Chances at Nation Building” Datuk Mohammed Hussein. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Mohammed mengupas naskhah tulisannya yang sarat dengan pemikiran dan analisis mendalam mengenai sejarah negara ketika diwawancara.

Buku ini adalah hasil penyelidikan selama enam tahun yang mendalam, di mana beliau telah mengunjungi muzium, berbincang dengan kumpulan naskhah (archive), serta menggali pelbagai sumber sejarah untuk memperoleh pandangan yang lebih jelas.

Peluang yang 'terlepas'

Antara sorotan yang diberi penekanan adalah beberapa peluang yang 'terlepas' daripada genggaman. Pertamanya kegagalan Malaya untuk mengisytiharkan kemerdekaan pada 1945, iaitu ketika Jepun menyerah kalah.

Beliau percaya, sekiranya kemerdekaan diisytiharkan lebih awal, ia akan mengubah semangat nasionalisme negara dan memberi impak besar terhadap jati diri bangsa.

Peluang kedua yang dianggap terlepas oleh beliau adalah penolakan Umno terhadap cadangan Datuk Onn Jaafar, presiden pertama Umno, untuk membuka keahlian parti itu kepada bukan Melayu.

Menurut Mohammed, penolakan tersebut mengukuhkan pembentukan parti berasaskan kaum yang kemudiannya mendominasi landskap politik dan sosial Malaysia dalam dekad-dekad berikutnya.

Sementara itu, peluang ketiga yang terlepas adalah berkaitan dengan penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

Mohammed menyatakan bahawa walaupun perlembagaan tersebut berjaya menghindari pertumpahan darah, ia gagal untuk memastikan keseimbangan yang sebenar dalam pengaruh politik dan ekonomi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Buku ini juga mengupas peristiwa rusuhan 13 Mei 1969 yang membawa kepada pembentukan Majlis Gerakan Negara (Mageran) oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak.

Beliau berpendapat bahawa sekiranya Mageran tidak dibubarkan selepas dua tahun, lebih banyak reformasi berani mungkin dapat dilaksanakan.

Kritikan terhadap dasar ekonomi, kegagalan ahli politik

Selain itu, beliau turut mengkritik Dasar Ekonomi Baru yang telah berjaya meningkatkan kedudukan ekonomi bumiputera tetapi turut mempersoalkan keberkesanannya dalam memberi manfaat kepada golongan sasaran.

Wawasan 2020 yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak terlepas daripada penilaiannya. Mohammed berpendapat bahawa setelah 20 tahun, visi itu gagal digubal dengan cukup kuat untuk menangani cabaran masa depan negara.

Interview with CGC chairman and author of “How Malaysia Missed 7 Chances at Nation Building” Datuk Mohammed Hussein. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Naskhah setebal 216 halaman yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang kemenangan Barisan Nasional di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi pada pilihan raya umum 2004 dan juga peralihan kuasa pada 2018 yang menyaksikan Pakatan Harapan kembali ke Putrajaya.

Beliau berpandangan, ahli politik negara gagal memanfaatkan perubahan ini untuk membawa perubahan ketara dalam masyarakat.

Salah satu mesej utama buku ini adalah mengenai pentingnya penyertaan ekonomi yang lebih berdaya saing oleh golongan bumiputera melalui pembinaan kompetensi.

"Perkongsian antara bumiputera dan bukan bumiputera bukan satu masalah, tetapi ia harus lebih substantif dan memberi peluang kepada masyarakat Melayu supaya mereka memperoleh kecekapan dan seterusnya menjadi lebih mampan dan berdaya tahan," katanya.

Tambah Mohammed, naskhah tersebut disasarkan untuk golongan muda seperti milenial dan Gen Z, dengan harapan agar mereka mendapat perspektif baru dan dapat memberi sumbangan besar kepada masa depan negara.

"Saya harap ia akan menjadi pembuka mata kepada mereka, yang mewakili masa depan Malaysia," tambahnya.

Perkongsian mengenai buku ini akan dikupas lebih mendalam oleh Mohammed dalam wacana yang akan dikendalikan oleh pengasas bersama Malaysiakini, Premesh Chandran bersama aktivis politik, Liyana Marzuki, sebagai ahli panel.

Acara tersebut akan berlangsung pada 19 Februari ini di MPH, The Exchange TRX, dari pukul 5 petang hingga 7 malam.

Artikel Lain