MEMBAWA muatan simen melebihi had disyaki menjadi punca tayar sebuah lori tercabut hingga mengakibatkan tujuh nyawa terkorban dan 33 orang cedera dalam nahas di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara pada 23 Disember lalu.
Kesalahan itu menyebabkan syarikat lori jenis Foton itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada 4 Mac ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, berkata hasil siasatan mendapati kerosakan tayar berlaku akibat membawa muatan serbuk simen OPC yang melebihi 31 peratus atau 16,260 kilogram (16.2 tan) daripada had yang dibenarkan.
“Kita akan mendakwa syarikat tersebut di bawah Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, selain kenderaan boleh dilucuthakkan di bawah Seksyen 80(4) akta yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ops Khas Lebih Muatan Sempena Tahun Baharu Cina di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Peringgit pada Ahad malam.
ARTIKEL BERKAITAN: Tayar treler tercabut punca nahas ngeri 5 kenderaan di Ayer Keroh... 7 termasuk bayi maut di tempat kejadian
Muhammad Firdaus berkata syarikat tersebut akan didakwa buat kali pertama di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 4 Mac ini di bawah dua seksyen berkenaan.
“Selain itu, saman juga telah diserahkan kepada pemilik syarikat pada 7 Februari lalu,” tambahnya.
Pada 23 Diseber lalu, nahas membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV), dan sebuah Perodua Bezza.
Lori dan bas dalam perjalanan dari arah utara ke selatan, manakala tiga lagi kenderaan berada di arah bertentangan.
Dalam kejadian 8.45 malam itu, tayar hadapan sebelah kanan lori yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.
Pemandu bas persiaran melanggar tayar tersebut sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.