suria

Malaysia menuju ke arah e-invois... Perkasa sistem cukai, manfaatkan pembayar

Pelaksanaan e-invois menambah baik kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh pentadbir cukai. foto RAJA FAISAL HISHAN/The Star

SEMUANYA kini di hujung jari dengan kepesatan arus revolusi digital, yang menyaksikan semua aktiviti termasuk perniagaan perlu dilaksanakan dengan cara yang lebih mudah.

Menjadi satu keperluan, pendekatan tersebut dapat memastikan kelancaran pertukaran maklumat dan transaksi perdagangan di peringkat domestik mahu pun global.

Ternyata Malaysia menuju ke arah itu dengan memperkenalkan pelaksanaan e-invois, bagi memastikan kecekapan pengurusan pentadbiran percukaian negara seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

Kerajaan melalui pembentangan Bajet 2023 telah memperkenalkan pelaksanaan e-invois sebagai satu mekanisma baharu untuk mencapai hasrat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, pelaksanaan e-invois ini mampu menambah baik kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh pentadbir cukai.

Bukan sekadar itu, jelas beliau, ia turut memberikan banyak manfaat kepada pembayar cukai dari segi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, memudahkan urusan penyimpanan rekod dan mengurangkan kos pematuhan cukai mereka.

"Pelaksanaan e-invois ini juga dapat mewujudkan transaksi perniagaan yang lebih telus sekali gus membantu kerajaan mengatasi masalah ekonomi bayangan (shadow economy) dalam urus niaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus dengan pengamal media dan pemain industri berkenaan e-invois di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sesi tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pengamal media, pempengaruh media dan pemain industri serta mendapatkan maklum balas terus berkenaan strategi-strategi pemasaran yang boleh dilaksanakan bagi membantu HASiL dalam menyebarluaskan kepentingan e-invois dalam konteks urusan percukaian negara.

Datuk Dr Mohd Nizom Sairi. foto AZLINA ABDULLAH/The Star

Objektif pelaksanaan e-invois untuk menangani jurang cukai dan ekonomi bayangan, memerangi pelarian cukai dan ekonomi bayangan, pendigitalan pentadbiran cukai dan meningkatkan ketelusan cukai.

Mohd Nizom berkata, pelaksanaan e-invois akan memberi manfaat kepada tiga penjuru iaitu perniagaan, orang ramai dan kerajaan.

"Ini terutama apabila perniagaan dalam era digitalisasi iaitu tanpa sempadan. Perkembangan di luar negara sebenarnya telah pun mengamalkan atau melaksanakan transaksi perniagaan dengan infrastruktur e-invois, kita perlu berada dalam platform yang sama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada cukai tertunggak? LHDNM beri 5 tip elak tindakan mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: Jadilah rakyat bijak... Jom Klik HASiL, anda lapor dan bayar cukai pendapatan kemudian dapat bayaran balik!

Mengulas lanjut, manfaat e-invois terbukti apabila ia dilaksanakan di beberapa negara dalam tempoh yang lama lebih 10 tahun.

"Sistem e-invois ini akan membolehkan pentadbir cukai mendapat maklumat transaksi perniagaan dan maklumat inilah yang boleh digunakan untuk membantu pihak hasil di negara-negara berkenaan untuk menyediakan satu borang 'pra-isi' kepada pembayar cukai.

"Dalam konteks di negara kita di mana pembayar cukai individu ini mempunyai pelbagai bentuk tuntutan atau potongan-potongan yang boleh dituntut berdasarkan apa yang dibelanjakan," katanya sambil menambah tuntutan antaranya melibatkan perbelanjaan berkaitan gajet, perubatan dan ibu bapa.

Berdasarkan maklumat transaksi yang lengkap, beliau berkata, urusan HASiL untuk melaksanakan audit dapat dilakukan dengan lebih baik dan tepat.

Sistem e-invois itu memudahkan pembayar cukai yang selama ini menyimpan resit perbelanjaan mereka untuk tujuan rekod dan tuntutan.

Inisiatif tersebut dirangka selepas HASiL mengambil kira kesukaran pembayar cukai menyimpan rekod kewangan masing-masing bagi tempoh tujuh tahun.

Ini bermakna, dari segi manfaat kepada individu, ia dapat mengurangkan bebanan rekod simpanan dokumen perbelanjaan oleh pembayar cukai.

Mohd Nizom berkata, sebenarnya banyak lagi yang dapat dimanfaatkan oleh pengguna atau pembayar cukai menerusi e-invois.

"Sebagai contoh negara yang kita lawati iaitu Brazil, mereka telah melaksanakannya lebih 15 tahun. Maklumat tentang transaksi ini digunakan untuk menyediakan satu aplikasi di mana pengguna boleh membuat perbandingan harga barangan sama.

"Keadaan itu merupakan salah satu cara untuk menguruskan kos sara hidup secara keseluruhan dengan menjadikan perbandingan harga sebagai sesuatu yang bermanfaat kepada pengguna.

"Walaupun ia tidak berkaitan dengan cukai tetapi ia memberi manfaat kepada masyarakat melalui pelaksanaan e-invois ini," katanya.

Manfaat pelaksanaan e-invois kepada perniagaan / pembayar cukai. sumber HASiL

Manfaat pelaksanaan e-invois kepada perniagaan / pembayar cukai:

1) Pelaporan dan pematuhan secara real time.

2) Penjimatan kos pengurusan rekod.

3) Compliance by design.

4) Mengurangkan kos pematuhan.

5) Meningkatkan kecekapan kepada pembayar (pra-isi).

6) Proses kerja yang teratur.

7) Mempermudahkan pelaporan dan proses kerja yang efektif.

8) Manfaat bukan percukaian (mengawal kos sara hidup rakyat).

Manfaat pelaksanaan e-invois kepada kerajaan. sumber HASiL

Manfaat pelaksanaan e-invois kepada kerajaan:

1) Integrasi maklumat bagi tujuan unjuran oleh agensi berkaitan.

2) Mengurangkan ketirisan cukai / ekonomi bayangan.

3) Pembesaran asas cukai.

4) Kawalan dan pemantauan pematuhan.

5) Meningkatkan produktiviti melalui automasi.

6) Perkongsian maklumat.

7) Pemantapan analitik.

Mohd Nizom berkata, e-invois adalah inisiatif untuk memacu agenda digitalisasi negara sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

"Ia juga merupakan salah satu program di bawah Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang (NESR) 2.0 yang melihat kepada keperluan perniagaan untuk bertukar maklumat dan transaksi perdagangan di peringkat global," katanya.

E-invois yang bermaksud elektronik invois, merujuk kepada penghantaran invois daripada penjual kepada pembeli dalam format elektronik yang bersepadu.

Ia akan mengandungi maklumat transaksi yang dikeluarkan dengan harga yang dipersetujui, kuantiti, cukai yang dikenakan dan maklumat-maklumat lain yang berkaitan dengan sesuatu transaksi.

Hadirin pada sesi libat urus dengan pengamal media dan pemain industri berkenaan e-invois.

Pelaksanaan e-invois akan diadakan secara berperingkat mulai akhir 2023 dengan memfokuskan pembangunan sistem dan projek rintis bersama pembayar cukai terpilih.

Manakala penggunaannya adalah diwajibkan kepada perniagaan mengikut nilai ambang jualan secara berperingkat bermula pada Jun 2024.

Mohd Nizom berkata, sebanyak 4,000 syarikat yang mempunyai pendapatan melebihi RM100 juta disasarkan menjadi kumpulan pertama terbabit pelaksanaan itu mulai 1 Jun 2024.

Mulai Januari 2025, katanya, pelaksanaan mandatori disasarkan bagi perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan RM50 juta setahun.

Setahun berikutnya iaitu Januari 2026, pelaksanaan mandatori bagi perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan RM25 juta setahun.

"Menjelang 2027, kita menyasarkan pelaksanaan mandatori bagi semua perniagaan," ujar Mohd Nizom lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain