suria

Ada cukai tertunggak? LHDNM beri 5 tip elak tindakan mahkamah

Orang ramai boleh menghubungi LHDNM bagi pertanyaan dan membincangkan hal percukaian mereka. foto FAIHAN GHANI/The Star

TEKANAN ekonomi masih dirasai rakyat Malaysia selepas dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19.

Kesannya bukan sedikit, menyebabkan orang ramai mengatur semula perbelanjaan bulanan agar perolehan pendapatan atau keuntungan perniagaan dapat meneruskan kelangsungan hidup dan bisnes mereka pada masa depan.

Namun dalam usaha itu, kemungkinan ada yang mengabaikan bayaran cukai yang sepatutnya dibuat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

ARTIKEL BERKAITAN: Jadilah rakyat bijak... Jom Klik HASiL, anda lapor dan bayar cukai pendapatan kemudian dapat bayaran balik!

"Akibatnya baki cukai kita akan tertunggak dan risiko untuk dikenakan tindakan mahkamah adalah tinggi.

"Sekiranya tindakan mahkamah diambil, ia bukan sahaja akan menjejaskan imej kita malah menambah beban kerana terpaksa mengupah peguam bagi mempertahankan diri," menurut LHDNM dalam satu kenyataan.

Berikut adalah lima cara atau tip yang diberikan LHDNM untuk orang ramai mengelakkan diri daripada tunggakan cukai dan dikenakan tindakan mahkamah, menerusi pengurusan cukai dengan baik.

1. Peka dan ambil peduli peruntukan undang-undang berkaitan cukai

Apa yang kita perlu lakukan ialah cakna dengan segala peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Undang-undang memperuntukkan bahawa individu yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan iaitu hanya makan gaji sahaja, perlu melunaskan cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 April setiap tahun.

Bagi individu yang berniaga, mereka dikehendaki menjelaskan semua amaun cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun.

Sementara bagi syarikat pula wajib membayar semua amaun cukai mereka dalam tempoh tujuh bulan selepas tarikh tutup tempoh perakaunan syarikat.

2. Rujuk maklumat berkenaan cukai yang banyak terdapat di portal rasmi LHDNM dan internet.

Pelbagai maklumat berkaitan dengan cukai pendapatan dimuatkan dalam portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my untuk rujukan, malah turut menyediakan Gerbang Pendidikan Percukaian melalui platform Eduzone.

Platform Eduzone bukan sahaja memuatkan pelbagai risalah dan artikel berkaitan percukaian, malah ia turut dilengkapi pelbagai video pendek dan video-video wawancara pegawai LHDNM dengan pihak media yang berbentuk penerangan dan boleh dimanfaatkan oleh pembayar cukai.

lhdnm 2

Gerbang Pendidikan Percukaian melalui platform Eduzone.

Selain portal rasmi LHDNM, maklumat percukaian juga boleh dirujuk di platform media sosial rasmi LHDNM dan portal-portal firma percukaian bertauliah yang pakar dalam bidang percukaian.

Elakkan membuat rujukan dengan maklumat yang dikongsi di media sosial yang tidak diiktiraf, dikhuatiri maklumat yang dipaparkan tersebut adalah kurang tepat dan terpesong.

3. Hubungi LHDNM untuk mendapatkan maklum balas dan khidmat nasihat

Orang ramai boleh menghubungi pegawai perhubungan pelanggan LHDNM di talian 03-89111000 atau 603-89111100 bagi panggilan dari luar negara.

Terdapat pilihan lain untuk menghubungi pegawai-pegawai menerusi nombor telefon bimbit rasmi mereka yang disiarkan dalam portal rasmi LHDNM.

Selain itu, pelbagai saluran komunikasi lain seperti HASiL Live Chat, Facebook, Twitter, Instagram dan Borang Maklum Balas Pelanggan turut disediakan oleh LHDNM.

3. Semak kedudukan cukai kita melalui MyTAX

LHDNM menyediakan kaedah semakan yang mudah iaitu melalui aplikasi MyTax yang boleh dibuat secara dalam talian dan di hujung jari sahaja.

MyTax bukan sahaja satu aplikasi yang membolehkan kita membuat semakan cukai, malah merupakan one stop centre bagi pembayar cukai untuk mengisytiharkan cukai mereka dan mendapatkan informasi cukai yang terkini.

lhdnm 3

Contoh tangkap layar paparan aplikasi MyTax yang membolehkan orang ramai membuat semakan kedudukan terkini cukai pendapatan

4. Bincang dengan LHDNM untuk ansuran cukai

LHDNM sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan jika kita tidak mampu membayar amaun cukai secara sekali gus.

Kaedah bayaran secara ansuran masih boleh dipertimbangkan, namun ia hendaklah mendapat kelulusan terlebih dahulu.

Sehubungan itu, orang ramai perlu menyediakan dokumen-dokumen seperti penyata aliran tunai bulanan, penyata bank beberapa bulan terkini, senarai komitmen bulanan dan bilangan ansuran yang ingin dicadangkan.

Bukan setakat ansuran sahaja boleh dibincangkan, malah orang ramai juga boleh membuat rayuan atas kenaikan cukai yang dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan oleh LHDNM berdasarkan kepada merit setiap kes.

Justeru, tunggakan cukai tidak akan berlaku seandainya orang ramai sentiasa mengambil peduli tentang hal ehwal percukaian masing-masing.

"Jangan bimbang untuk berbincang dengan LHDNM sekiranya kita tidak mampu untuk melunaskan semua cukai kita dengan segera, sebaliknya hubungilah LHDNM dan ambil inisiatif untuk berbincang kaedah ansuran yang terbaik," menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pembayaran cukai diperlukan untuk kerajaan melaksanakan pelbagai kemudahan dan program pembangunan serta kebajikan rakyat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain