suria

Belanjawan 2023 kurangkan beban kewangan orang muda, banyak manfaat dan peluang

Beberapa langkah proaktif dalam Belanjawan 2023 disasarkan untuk belia bagi meringankan beban kewangan mereka.

MASA depan belia sentiasa dititikberatkan oleh kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2023 mendedahkan bahawa kadar pengangguran di Malaysia bagi mereka yang berumur 24 tahun dan ke bawah adalah 10 peratus.

Ditambah pula dengan kadar inflasi yang tinggi sebanyak 3.3 peratus dan kos sara hidup yang meningkat, ini menjadikan golongan belia tempatan semakin sukar untuk mempunyai kehidupan yang selesa.

Ketika kos barangan dan perkhidmatan melambung tinggi, Kementerian Kewangan telah menggandakan usahanya untuk membantu menjamin kestabilan kewangan terutamanya untuk golongan belia.

Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah proaktif dalam Belanjawan 2023 yang disasarkan untuk belia, tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi. Ia bertujuan meringankan beban kewangan dan membantu mereka menghadapi cabaran kos sara hidup.

Langkah-langkah mengurangkan bebanan kewangan belia

> e-Tunai Belia Rahmah: Antara Langkah yang dilaksanakan untuk membantu belia tempatan ialah e-Tunai Belia Rahmah. Kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk inisiatif ini bagi menggalakkan transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia.

Kerajaan akan menawarkan kredit secara one-off berjumlah RM200 untuk 2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun atau penuntut IPT sepenuh masa.

>Yuran ujian memandu: Kerajaan akan membiayai yuran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan bayaran lesen teksi, bas dan e-hailing kepada belia dari keluarga yang kurang bernasib baik.

> Tangguhan bayaran balik PTPTN: Bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terjejas, kerajaan akan menangguhkan pembayaran balik untuk tempoh enam bulan bagi peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 dan ke bawah.

>Kes muflis: Mengikut Bajet 2023, setakat Januari tahun ini, lebih 260,000 kes muflis direkodkan yang melibatkan majoriti belia Melayu.

Bagi menangani isu ini, kerajaan meminda Akta Insolvensi 1967 untuk membenarkan kes kebankrapan dilepaskan serta-merta.

Sementara menunggu pindaan Akta, kes-kes kecil yang melibatkan hutang kurang daripada RM50,000 yang memenuhi kriteria akan dilepaskan secara automatik mulai 1 Mac. Ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

> Akses kepada pembiayaan: Usahawan belia juga akan mendapat manfaat daripada langkah menyeluruh yang diambil dalam Belanjawan 2023, dengan akses kepada pembiayaan melalui agensi seperti Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang disediakan, dengan dana berjumlah RM1.7 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan untuk menyokong perniagaan mikro yang dimiliki oleh usahawan wanita dan belia.

TEKUN juga menyediakan RM330 juta, termasuk dana RM10 juta untuk menyokong belia daripada latar belakang yang kurang berkemampuan, supaya mereka boleh menjana pendapatan melalui inisiatif perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Pengambilan pekerja belia

Dengan purata pendapatan bulanan belia berumur 25 tahun dan ke bawah berada pada RM1,700 setakat 2021, lebih banyak perlu dilakukan untuk menggalakkan golongan ini menyertai industri pekerjaan.

Data Belanjawan 2023 menunjukkan bahawa walaupun 90 peratus aliran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dapat membuka peluang pekerjaan, mereka hanya memperoleh pendapatan rendah sekitar RM2,000 sebulan.

Untuk menangani isu ini, kerajaan menggalakkan peniaga dan usahawan tempatan untuk mengambil lebih ramai belia tempatan, dengan beberapa insentif menarik disediakan.

Kerajaan akan terus menggalakkan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengambil dan melatih belia, dengan sasaran penglibatan 50 syarikat.

Syarikat peneraju ini akan mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET seperti kolej komuniti, institut latihan perindustrian (ILP) dan institut kemahiran belia negara (IKBN) bagi menyediakan program latihan yang memenuhi keperluan mereka.

Selain itu, melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), insentif RM600 sebulan selama tiga bulan akan disediakan, sebagai tambahan kepada gaji yang ditawarkan kepada majikan yang mengambil graduan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).

Langkah ini dianggarkan dapat membantu 17,000 graduan dengan peruntukan RM45 juta bagi tujuan ini.

GLC juga akan menawarkan 35,000 peluang kerjaya kepada lepasan sekolah dan graduan.

Program peningkatan kemahiran

Di samping itu, belia perlu meningkatkan prospek kerjaya dengan meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka bagi meningkatkan peluang memperoleh gaji yang lebih tinggi.

Untuk menggalakkan belia memilih haluan ini, kerajaan akan menampung bayaran latihan sehingga RM2,500 untuk pengajian kursus pendek di IPTA atau IPTS, dan sehingga RM4,000 bagi kategori pensijilan profesional dan micro credential.

Elaun sebanyak RM300 selama tiga bulan juga akan diberikan sebagai pendapatan gantian kepada pekerja gig yang menjalani program latihan.

Kerajaan menggesa mereka yang layak menerima manfaat ini untuk menggunakan sepenuhnya peluang yang disediakan. Kaedah permohonan juga telah ditambah baik agar lebih mesra pengguna dan bantuan dapat disalurkan dengan pantas kepada mereka yang memerlukan.

Untuk maklumat lanjut tentang manfaat Belanjawan 2023, layari laman sesawang budget.mof.gov.my/manfaat/.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain