suria

Matrade rangka program impak tinggi bagi memacu prestasi eksport negara

MATRADE menerapkan platform digital bagi memperluaskan promosi eksport syarikat tempatan. — Gambar hiasan/ Ihsan MATRADE

PANDEMIK Covid-19 yang masih tidak menentu mendorong semua pihak baik kerajaan mahupun swasta mengambil inisiatif dalam mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara.

Ianya dilihat sebagai salah satu langkah yang proaktif, di mana prestasi perdagangan Malaysia pada tahun 2021 mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dengan perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencecah paras tertinggi setakat ini.

Buat julung kalinya, rekod pencapaian perdagangan telah melepasi aras RM2 trilion dan pertumbuhan perdagangan ini adalah yang terpantas sejak 1994.

Eksport berjumlah RM1.24 trilion, mencapai 99% daripada unjuran yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMKe-12), empat tahun lebih awal dari sasaran yang ditetapkan.

Lebihan dagangan pula telah direkodkan bagi 24 tahun berturut-turut sejak 1998. Pencapaian ini telah disokong terutamanya oleh pemulihan permintaan luar dan harga komoditi yang lebih tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: MATRADE bertekad bantu lebih banyak jenama Malaysia selepas kejayaan Siti Khadijah

ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat tempatan, pelabur asing terjejas angkara pandemik... mujur ada Miti

Sebagai Agensi Promosi Perdagangan Kebangsaan Negara, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), berperanan membantu pengeksport Malaysia membangunkan dan mengembangkan pasaran eksport mereka di luar negara.

MATRADE sedia membantu syarikat-syarikat Malaysia untuk kekal relevan menghadapi norma baharu dengan menerapkan inisiatif pendigitalan di dalam komuniti perniagaan di Malaysia.

Melangkah ke hadapan, MATRADE turut memperhebatkan pembangunan pengeksport dan menjalankan program promosi eksport dengan memanfaatkan pelbagai platform dalam talian bagi membolehkan syarikat Malaysia memperluaskan kehadiran mereka di pasaran global.

Pada 2021, MATRADE telah mengadakan 40 sesi webinar merangkumi topik berhubung penjenamaan, pemasaran, peluang perniagaan serta kemampanan yang boleh meningkatkan daya saing syarikat Malaysia. Selain itu, melalui MyExport Services, syarikat yang berdaftar dengan MATRADE boleh mengakses 945 laporan risikan pasaran yang merangkumi kajian pasaran produk dan perkhidmatan serta 3,256 petunjuk perdagangan (trade leads).

Melalui Program eTRADE 2.0, pengeksport Malaysia digalakkan untuk mengadaptasi teknologi digital bagi tujuan promosi eksport di peringkat global. Di samping menyokong aktiviti dan latihan pemasaran secara digital, pada tahun 2021, sebanyak 280 syarikat dibantu dalam usaha menyenaraikan produk mereka di platform e-dagang antarabangsa menerusi program ini.

Dalam usaha membangunkan segmen perniagaan bersasar, syarikat Malaysia menerima bimbingan melalui pelbagai program yang dijalankan oleh MATRADE terutamanya Progam Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP), GlobPreneur dan Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera, Wanita dan Belia (BWYEDP).

Menerusi program-program ini, syarikat yang berkelayakan menerima bimbingan dalam penyediaan strategi eksport dan aktiviti penerokaan pasaran melalui program padanan perniagaan dengan pembeli antarabangsa serta penglibatan dalam acara perdagangan.

MATRADE terus menyokong syarikat Malaysia melalui Geran Pembangunan Pasaran (MDG) yang diperkenalkan pada 2002. Bagi mengurangkan impak Covid-19 kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), skop MDG diperluaskan untuk menampung peningkatan kos menjalankan perniagaan, penyertaan acara maya, aktiviti penjenamaan dalam platform digital, pensijilan antarabangsa serta pendaftaran hak intelek(IP).

Susulan daripada aktiviti interaksi secara fizikal yang tidak dapat dijalankan, MATRADE telah mengguna pakai inisiatif digital dalam melaksanakan promosi eksport. Pada 2021, sebanyak 43 program promosi eksport dijalankan yang memanfaatkan 2,161 syarikat dan menjana RM12.63 bilion jualan eksport.

Sebanyak 1,692 pertemuan perniagaan dalam talian atau eBizMatch dianjurkan antara 1,205 syarikat Malaysia dan 993 pembeli asing dari seluruh dunia dari Januari hingga Disember 2021.

Acara ikonik MATRADE iaitu Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi ke-17 berjaya dijalankan sepenuhnya secara maya dari 9 September hingga 31 Disember 2021, menampilkan 549 peserta tempatan dan asing selain menarik 16,512 pengunjung dalam talian. MIHAS 2021 berjaya menjana RM2.13 bilion menerusi jualan eksport terkumpul.

Dalam memastikan kesinambungan perniagaan yang meluas untuk pengeksport Malaysia, MATRADE menganjurkan Misi Pecutan Eksport (EAM) dan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) secara maya. Selain itu, MATRADE juga menganjurkan penyertaan syarikat Malaysia di dalam acara perdagangan hibrid luar negara seperti Ekspo Dunia Dubai 2020 dan Ekspo China-Asean (CAEXPO).

Seiring dengan digitalisasi, MATRADE menyokong agenda kemampanan melalui pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) dengan CIMB Islamic Bank dan Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) bagi mempercepatkan pertumbuhan pengeksport hijau di Malaysia. MATRADE menjangkakan lebih banyak perkongsian strategik seumpama ini akan dibentuk dalam masa terdekat.

Agenda digitalisasi dan kemampanan juga dititikberatkan dalam Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) bagi meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia dan menangani kebimbangan berkaitan eksport.

MATRADE memperjuangkan pelaksanaan NTBp di mana rangka kerjanya dipandu insiatif yang dikenalpasti dapat menambah baik serta meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia melalui ekosistem eksport yang cekap.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz bertekad memacu lebih banyak peranan perbadanan itu sebagai agensi promosi perdagangan nasional.

"Penekanan aspek pendigitalan dan kemampanan adalah penting bagi membantu lebih banyak syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa. MATRADE sedia bekerjasama rapat dengan sektor awam dan swasta untuk menambahbaik ekosistem eksport Malaysia," katanya.

Picture2

MOHD Mustafa komited memacu MATRADE bagi membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa. — Ihsan MATRADE


Melangkah ke tahun 2022, MATRADE komited memberikan yang terbaik bagi membantu serta menyediakan bantuan nasihat kepada syarikat Malaysia ke arah menembusi pasaran global.

Sejumlah 286 program pembangunan pengeksport dan promosi eksport akan dilaksanakan berdasarkan hala tuju strategik NTBp yang memfokuskan kepada pertumbuhan eksport negara yang lebih kukuh.

Melalui 46 pejabat yang berpusat di luar negara dan lima pejabat serantau di Malaysia, Mohd Mustafa menyeru syarikat tempatan berhubung dengan MATRADE bagi mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat berkenaan peluang-peluang eksport dengan menghubungi pejabat MATRADE, platform media sosial atau layari www.matrade.gov.my

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain