suria

MATRADE bertekad bantu lebih banyak jenama Malaysia selepas kejayaan Siti Khadijah

Siti Khadijah (SK) pelopor jenama telekung di Malaysia.

MESKIPUN dunia ketika ini dilanda pandemik Covid-19, aktiviti ekonomi perlu diteruskan, termasuklah mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

Begitu juga inisiatif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang komited menyokong usaha berterusan kerajaan dalam pemulihan ekonomi negara.

Malah, peranan MATRADE untuk mewujudkan lebih banyak pengeksport semakin diperlukan terutamanya dalam pelaksanaan Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP).

Banyak syarikat peringkat pertengahan (MTC) yang dibantu MATRADE termasuklah pengeluar jenama telekung nombor satu negara, Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (SK).

Kukuh lebih sedekad

Siapa sangka setelah lebih sedekad perniagaan jenama telekung premium SK di pasaran, ia telah pun menembusi pasaran di luar negara.



Telekung merupakan produk utama SK.

Pengarah Eksekutif Perancangan Strategik SK, Mohammad Muhaimin Aminuddin berkata, syarikat terus berkembang dan kekal relevan di pasaran sejak ditubuhkan pada 2009.

Bermula dari sebuah butik di deretan kedai di Bangi, Selangor pada 2010, beliau berkata, SK yang diasaskan oleh ibunya, Fadzilah Enda Sulaiman, mengambil masa dua tahun untuk membuka cawangan kedua di Shah Alam pada 2012.

"Sehingga kini, terdapat 35 butik SK di seluruh Malaysia termasuk di pusat beli-belah terkemuka Suria KLCC dan tiga butik di Indonesia.

"SK juga kukuh bagi pasaran e-dagang (dagangan elektronik) di beberapa platform utama seperti Lazada dan Shopee," katanya dalam satu wawancara bersama mStar.



Mohammad Muhaimin Aminuddin.

Mohammad Muhaimin yang merupakan anak ketiga daripada enam adik-beradik lelaki berkata, bisnes SK terdiri daripada lima kategori iaitu telekung, pakaian, sejadah, aksesori dan tudung.

"Telekung masih kekal sebagai produk utama SK yang merangkumi 90 peratus, manakala yang lain-lain dijadikan sebagai pilihan tambahan dan pelengkap," ujarnya.

Anugerah dan pengiktirafan

Sejak penubuhan SK lebih sedekad lalu, syarikat dan pelopor jenama telekung di Malaysia itu meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan saban tahun.



Aksesori di bawah jenama SK.

Antara pencapaian yang diberikan adalah Anugerah Enterprise 50 Award 2016, Anugerah Usahawan Wanita 2016 (Anugerah 50 Enterprise 2016), Anugerah BrandLaureate SMEs BrandPreneur 2017-2018, Anugerah BrandLaureate SMEs BESTBRANDS - Signature Brand Retail Muslimah Fashion 2017-2018 dan Malaysian Chief Marketing Officer (CMO) of the year (2018).

Selain itu, SK juga diiktiraf menerusi Anugerah Zakat Kebangsaan (Private Limited Company) pada 2019, AMEC Awards, Anugerah Top E-Commerce Merchant oleh Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang Selangor (SITEC), Anugerah Putra Brand - Top brands (Bronze) - Apparel & Accessories, masing-masing juga pada 2019.

Bagi pencapaian membanggakan pada 2020 dan 2021, SK menerima beberapa anugerah menerusi Anugerah SOBA: Outstanding Achievement Award for Female Entrepreneur of the Year, Anugerah SIDEC Top E-Commerce Merchant, Anugerah Malaysia Institute of Management Leadership dan Anugerah Putra Brand (Anuegrah People’s Choice).

Melebarkan sayap ke pasaran Indonesia

Mengenai pasaran luar negara, Mohammad Muhaimin berkata, SK menembusi pasaran Indonesia pada 2015, bermula dengan sebuah butik di ibu negara Republik itu, Jakarta.

"Sehingga kini, SK mempunyai tiga cawangan di Indonesia termasuk Pekanbaru dan Surabaya serta pusat pengedaran bagi pasaran negara itu di Jakarta," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat cabaran untuk mengukuhkan pasaran di Indonesia berikutan banyak pelopor jenama telekung di negara jiran itu.

"Walaupun pasaran Indonesia adalah besar dan kebanyakan penduduknya merupakan pengguna telekung, tetapi mencabar kerana mereka sendiri menjadi pelopor telekung.

"Namun, SK berkembang secara perlahan-lahan dan terdapat perkembangan setiap tahun selain mengukuhkan pasaran menerusi e-dagang," ujar Mohammad Muhaimin.



Kakitangan komited dalam operasi pengeluaran produk SK.

Ternyata pandemik Covid-19 melonjakkan ekonomi digital, dan SK turut terkesan dengan perubahan itu dalam perniagaannya namun kekal positif.

"Setakat suku pertama tahun ini, SK berkembang menerusi saluran e-dagang sebanyak 70 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya.

Mohammad Muhaimin berkata, penglibatan SK dalam MTCDP banyak dibantu oleh MATRADE terutama dari segi pemasaran digital dan khidmat perundingan pasaran.

"Sebelum ini, kita buat sendiri tapi tanpa banyak panduan dan menjadi MTC ini sangat membantu. Sebagai MTC juga, kita diberikan pendedahan kepada beberapa pemain industri di sana dan beberapa pertemuan serta perbincangan diadakan.

"Cabaran di Indonesia adalah rekaan dan fesyen telekung mereka adalah berbeza berbanding di Malaysia. Jadi, kita memerlukan kolaborasi bersama syarikat dan pereka fesyen Indonesia bagi memenuhi citarasa setempat.

"Pendedahan sebegini memudahkan serta memulakan inisiatif kepada SK untuk mengadakan kolaborasi dari segi produk dan jenama SK bersama pihak di Indonesia," katanya sambil menambah jenama SK semakin diterima baik dalam kalangan pengguna di negara itu.

Kolaborasi produk, jenama

Dalam pada itu, Mohammad Muhaimin turut memberitahu terdapat tinjauan bersama yang dilakukan di bawah MTCDP mengenai penerimaan jenama Malaysia di Indonesia.

"Terdapat stereotaip jika kita cakap jenama Malaysia, mungkin mereka (pengguna Indonesia) tak suka. Tapi tinjauan mendapati tak ada berat sebelah, asalkan produk berkualiti," ujarnya.



SK menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah.

Susulan kolaborasi produk dan jenama SK di Indonesia, Mohammad Muhaimin optimis untuk mengukuhkan pasaran di Republik itu serta mengembangkannya di peringkat global.

"Kita telah mengadakan pertemuan dengan pihak MATRADE untuk meneliti perancangan SK pada masa akan datang bagi menembusi pasaran beberapa negara bukan Nusantara.



MATRADE membantu Siti Khadijah mengembangkan pasaran di peringkat antarabangsa.

"Pendekatannya berbeza kerana selama ini SK menjual telekung kepada pengguna telekung, dan strategi seterusnya adalah menjual telekung kepada bukan pengguna telekung," ujarnya.



Kejayaan SK terus diiktiraf.

Mahu dikenali dunia

Mengulas lanjut, beliau menyenaraikan United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Australia berikutan negara itu mempunyai bilangan penduduk beragama Islam yang tinggi.

"Jika di UK, AS dan Australia, negara-negaranya ramai Muslim, tapi secara tradisi atau budaya mereka tidak menggunakan telekung, sebaliknya pakaian seharian sahaja.

"Tapi kita berpendapat bahawa telekung sangat praktikal dan selesa. Walaupun pada awalnya mereka tak guna telekung, tapi ia akan menjadi penyelesaian kepada mereka untuk membudayakan pemakaian telekung ketika bersolat dengan lebih selesa, terutama di rumah.

"Ini yang kita mahu cadangkan kepada MATRADE, apatah lagi kuasa membeli dalam kalangan orang-orang Islam di negara-negara berkenaan adalah tinggi, sekali gus melihatnya sebagai potensi pasaran luar negara yang amat baik buat SK," katanya.



Butik SK di Pekanbaru, Indonesia.

Mohammad Muhaimin berkata, pihaknya mahu jenama SK bukan sahaja terkenal di Malaysia dan Indonesia, bahkan juga mahu dikenali di seluruh dunia.

"Oleh sebab itu, kita berusaha untuk menembusi negara-negara ini. Kita mahu jenama Siti Khadijah atau SK bukan saja dikenali di serantau atau Malaysia, bahkan seluruh dunia," katanya.

Bagi tahun 2021, MATRADE akan meneruskan MTCDP bagi melonjakkan pasaran eksport syarikat peringkat pertengahan Malaysia.



Program Serapan Pasaran anjuran MATRADE yang disertai Siti Khadijah di Jakarta, Indonesia.

Melalui MTCDP, MATRADE akan mengenalpasti cabaran utama yang dihadapi oleh syarikat dalam mengembangkan pasaran eksport mereka dan merangka program pembangunan untuk meningkatkan daya saing serta kapasiti untuk mengeksport.

"Setiap tahun, MATRADE secara aktif akan mengenalpasti serta memilih syarikat-syarikat yang bersesuaian bagi menyertai program tersebut. Sasaran kami adalah mencari MTC dengan pendapatan tahunan antara RM50 juta hingga RM500 juta bagi sektor pembuatan dan RM20 juta hingga RM500 juta bagi sektor perkhidmatan."

Syarikat-syarikat yang berminat untuk menyertai program ini juga digalakkan untuk menghubungi MATRADE melalui e-mel di [email protected].

Artikel Berikut

Artikel Lain