suria

Lebih banyak rumah mampu milik akan disediakan, pemilikan lebih mudah untuk golongan B40 dan M40

Kerajaan komited untuk menyediakan umah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.

UNTUK setiap 1,000 rumah mampu milik yang dilancarkan di Lembah Klang, dikatakan terdapat antara 10,000 hingga 60,000 permohonan diterima untuk melakukan pembelian.

Angka ini jelas menunjukkan jenis kediaman seperti itu masih kurang terutamanya di kawasan bandar.

Bukan rahsia lagi bahawa harga hartanah telah melonjak berkali kali ganda sejak 20 tahun lalu tetapi situasi seperti ini tidak berlaku dalam pembayaran gaji.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M tulis surat kepada pengundi Johor, tegaskan amat penting pilihan dibuat pada PRN

Laporan kerajaan sendiri menyatakan, gaji permulaan (selepas pelarasan untuk inflasi) sebenarnya telah menurun sejak 2010 termasuk untuk mereka yang berpendidikan universiti.

Situasi menjadi bertambah buruk dengan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Walaupun saya mempunyai ijazah kejuruteraan, saya tiada pilihan selain bekerja sebagai rider. Mustahil saya mampu membeli sebuah apartmen di bandar.

"Jika saya boleh mencari sebuah flat berharga RM250,000 misalnya, saya masih tidak dapat menyediakan deposit 10 peratus kerana gaji yang diperolehi semuanya habis pada hujung bulan,” keluh seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Azlan M.

Sementara itu Irene Kiew yang merupakan seorang pensyarah berkata: "Untuk golongan M40, selalunya kami mempunyai ibu bapa yang dapat membantu dari segi bayaran muka kerana anak-anak tidak bekerja cukup lama untuk mengumpul wang sebanyak itu."

Bagaimanapun, apa yang menambahkan masalah apabila lebih 600,000 isi rumah daripada kumpulan M40 telah jatuh ke dalam kumpulan B40, seperti dilaporkan Bernama.

“Bukan mudah untuk generasi muda membeli hartanah pada masa kini. Mereka kebanyakannya menyewa di flat malah ada yang hanya menyewa sebuah bilik,” kata pegawai bank KS Wong.

Melihat situasi ini, adakah Malaysia akan menjadi seperti Hong Kong di mana golongan muda terpaksa menyewa sepanjang hayat kerana tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri disebabkan harga yang sentiasa naik?



Ismail Sabri mengumumkan strategi yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh RMK-12.

Perdana menteri gesa pembaharuan

Bagi menangani kebimbangan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Bank Negara perlu menyemak semula model pembiayaan untuk memudahkan pemilikan rumah bagi kumpulan B40 dan M40 seiring dengan sasaran Satu Keluarga Satu Rumah.

Ini antara keputusan yang diambil pada mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) pada 10 Februari lalu yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

"Ini bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah PPR (Program Perumahan Rakyat) dan rumah mampu milik. Fokus diberi untuk pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik)," kata Ismail Sabri.

Tambahnya, mesyuarat MPMMN turut membincangkan strategi membina 500,000 rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ini akan melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju perumahan swasta.

"Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah," kata Ismail Sabri.

Melaksanakan idea

Banyak idea telah dicadangkan sebelum ini dan memang tepat pada masanya apabila kerajaan kini giat meneroka cara untuk melakukan reformasi sistem.

Sebagai contoh, pada Mei 2021, Better Malaysia Foundation (BMF) mencadangkan pemberi pinjaman menyediakan pembiayaan 100 peratus untuk menghapuskan beban bayaran muka yang besar.

Kira-kira 60 peratus permohonan pinjaman bank daripada pembeli B40 ditolak kerana skor kredit yang lemah, kata BMF.

Justeru, ia mencadangkan agar kerajaan memberi jaminan pinjaman bagi mengatasi masalah ini.

Profesor Ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Dr Geoffrey Williams pada Februari 2022 mencadangkan agar bank menawarkan dua generasi pinjaman (untuk menurunkan ansuran) yang mempertimbangkan kemampuan ahli keluarga untuk membayar, bukannya jadual pembayaran balik pinjaman tetap.

Pada November 2021, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menggesa kerajaan menawarkan pilihan pembiayaan alternatif islamik yang tidak berorientasikan keuntungan.

Dia mencadangkan satu konsep pembiayaan dikenali Musharakah Mutanaqisah yang tidak dikenakan faedah.

Di bawah konsep ini, koperasi atau agensi kerajaan akan bersama-sama memperoleh hartanah dengan pembeli rumah.

Apabila mereka membayar sewa bulanan, bahagian pemilikan rumah mereka akan meningkat.

Berbeza dengan pinjaman bank, sekiranya pembeli gagal melakukan pembayaran, hasil jualan hartanah tersebut akan dibahagikan antara koperasi dan pembeli mengikut bahagian pemilikan masing-masing.

"Ini membolehkan orang ramai membayar sewa sedikit demi sedikit dan akhirnya mereka memiliki rumah itu," jelas Ahmed Razman.

Walaupun pilihan 'sewa untuk memiliki' seperti itu telah dicadangkan melalui bank perdagangan, pilihan Musharakah Mutanaqisah yang tidak berasaskan untung tidak mengenakan faedah kepada pembeli (tetapi hanya fi pentadbiran yang sederhana).

Sambungan pengangkutan

Satu lagi isu adalah perjalanan ke tempat kerja.

Dr Rosli Said dari Fakulti Alam Bina Universiti Malaya pada Disember 2021 berkata bahawa rumah yang terletak jauh di pinggir pusat bandar adalah lebih murah.

Tetapi orang ramai berat hati untuk berpindah ke sana kerana lokasi itu lebih jauh dari tempat mereka bekerja.

Ismail Sabri berkata projek PPR baharu ini akan mengkaji ketersambungan, dari segi pengangkutan awam dan akses internet jalur lebar.

Di samping itu, reka bentuk baharu juga akan lebih selesa dan ekonomik.

"KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) telah memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan," katanya.

Perdana Menteri berkata selain itu, kerajaan komited untuk menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri.

Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah.

Kebimbangan lain yang dibangkitkan pada mesyuarat MPMMN ialah kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.

Ismail Sabri berkata KPKT dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) diarah supaya menangani perkara ini.

Tambah perdana menteri, untuk mencapai matlamat ini kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain