suria

Tun M tulis surat kepada pengundi Johor, tegaskan amat penting pilihan dibuat pada PRN

Dr Mahathir memberi penjelasan menerusi surat kepada pengundi Johor.

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, setiap undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menentu parti mana yang akan menerajui kerajaan negeri.

Menerusi surat yang ditujukan kepada pengundi Johor, bekas perdana menteri itu berkata, pilihan yang dibuat adalah amat penting, selain memberi kebaikan kepada rakyat, tidak akan merugikan bangsa, agama dan tanah air.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyedari wujud dalam kalangan pengundi satu perasaan bahawa PRN Johor tidak akan memberi kesan apa-apa tidak kira siapa yang berjaya menerajui negeri.

"Di sini ingin saya memberi pandangan bahawa kesan PRN Johor ini kepada pilihan raya umum amat besar dan tidak boleh diambil ringan.

"PRN ini telah dirancang oleh kumpulan yang dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat dari Umno.

"Tujuan mereka ialah untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum pilihan raya umum ke-15.

"Perancangan mereka ialah apabila menang di pilihan raya umum nanti, mereka akan dapat mengguna kedudukan untuk menyelesai kes-kes salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat," dakwanya.

Dr Mahathir berkata, terdapat pengundi yang memaklumkan bahawa kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat tidak bertanding pada PRN Johor.

"Memang benar tetapi mereka yang bertanding di atas tiket Umno dan Barisan Nasional akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat," katanya.

Menurut Dr Mahathir, Pejuang menyertai PRN Johor dan akan berusaha menyekat kleptokrat dan kluster mahkamah mencapai perancangan mereka.

"Rakyat Johor telah menolak calon-calon Umno dan BN di dalam pilihan raya umum ke-14 pada tahun 2018 kerana mereka tidak mahu bertindak dan mendesak Datuk Seri Najib Razak untuk melepas jawatan dan sebaliknya terus mempertahannya. Kali ini, mereka masih lagi mempertahan kleptokrat.

"Saya pasti pengundi Johor akan bersama Pejuang untuk menyekat perancangan mereka," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain