suria

Pakar sambut baik sekolah dibuka berperingkat, SOP lebih ketat mampu pastikan keselamatan pelajar

SOP terbaharu digubal selepas mendapat input daripada semua pihak berkepentingan termasuk KKM, MKN, guru, ibu bapa, pelajar dan pakar.

SEBAHAGIANNYA mahu sekolah ditutup sehingga Covid-19 berjaya dibendung, sementara yang lain mahu sekolah dibuka semula dengan segera.

Emosi dan kebimbangan yang tidak senada ini semakin melonjak biarpun kurang dari seminggu lagi untuk para pelajar dibenarkan hadir ke sekolah secara berperingkat.

Keputusan tersebut menurut Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, tidak boleh dibuat berdasarkan sentimen.

Dengan pembukaan dan penutupan sekolah yang dibuat berkali-kali sejak wabak tersebut muncul, para pelajar amat bergantung kepada kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Keputusan untuk membuka semula sekolah secara berperingkat sangat penting untuk memastikan pelajar tidak terus ketinggalan dalam pelajaran.

radzi

Dr Radzi ketika menerangkan SOP terbaharu pada 12 September lalu. Foto: Bernama

Radzi berkata prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bertujuan untuk melindungi pelajar daripada wabak dengan dalam masa sama mengelakkan mereka daripada ketinggalan dalam pelajaran atau lebih teruk lagi, mengalami keciciran.

"Penyelesaian yang mudah bagi saya sebagai menteri adalah dengan menutup sekolah sehingga tahun depan.

"Namun, kita sedang dalam proses menuju ke arah pemulihan dan kembali ke kehidupan harian dalam keadaan norma baharu dengan prosedur baharu yang harus diikuti," katanya ketika membuat pengumuman mengenai SOP terbaharu yang lebih ketat pada 12 September lalu.

Ujarnya, SOP yang lebih komprehensif disusun selepas mendapat input daripada semua pihak yang berkepentingan termasuk guru, ibu bapa, pelajar, pakar dan yang lebih penting lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

grafik B

"Apa yang penting adalah membenarkan pelajar kembali ke sekolah kerana sudah sekian lama mereka tidak datang, dan kita tidak boleh terus membiarkan mereka seperti ini," tambahnya.

Berada di sekolah buat pelajar sedar betapa seriusnya proses pembelajaran

Ahli psikologi Universiti SEGi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata, pembukaan semula sekolah untuk pelajar tahun peperiksaan dalam fasa berbeza Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah penting dan wajar kerana kumpulan pelajar ini mesti membiasakan diri dengan persekitaran sekolah.

"Ini supaya mereka dapat mempersiapkan mental untuk menghadapi peperiksaan mendatang dalam lingkungan pembelajaran yang lebih baik dan kondusif.

"Dengan berada dalam persekitaran sekolah, mereka akan merasai betapa seriusnya proses pembelajaran dan pentingnya mengadakan perbincangan yang baik ketika mereka bertemu secara fizikal.

"Pada masa yang sama, berjumpa dengan rakan dan guru akan membantu pelajar memperoleh motivasi ekstrinsik dalam proses pembelajaran mereka dan membolehkan mereka melakukan sumbang saran (brainstrom) mengenai topik yang dipelajari; yang mana mereka tiada peluang untuk melakukan semua ini semasa pembelajaran dalam talian," katanya kepada StarEdu.

Bidang penyelidikan Mariani memberi tumpuan kepada perkembangan fizikal dan sosioemosi kanak-kanak, dengan penekanan kepada kanak-kanak Orang Asli, dan kepentingan bermain untuk kanak-kanak.

grafik A

Beliau menekankan bahawa mengamalkan model penggiliran adalah penting, terutama bagi anak-anak yang memasuki sekolah untuk pertama kalinya.

Ini kerana murid-murid harus dibiasakan dengan persekitaran dan rutin sekolah, di mana ia membantu mengembangkan kemahiran sosioemosi mereka dan memupuk nilai-nilai yang baik.

Bimbang kes keciciran meningkat

Turut sependapat, Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) dan juga perunding psikiatri, Prof Datuk Dr Andrew Mohanraj yang menambah, sistem kemasukan ke sekolah secara bergilir dan berperingkat dengan mengutamakan pelajar tahun peperiksaan, adalah langkah yang wajar disokong.

"Ketidakhadiran berpanjangan ke sekolah walaupun adanya PdPR akan menyebabkan pembelajaran terjejas dan peningkatan kes keciciran.

mohe 1

Prof Dr Zamberi Sekawi (kiri) dan Prof Datuk Dr Andrew Mohanraj. Foto: Bernama

"Selain itu, persekitaran sekolah sangat penting untuk pengembangan kemahiran sosial dan emosi, terutama untuk anak-anak yang kecil," katanya, sambil menambah bahawa langkah itu juga akan memberi sedikit kelonggaran kepada ibu bapa kerana membolehkan mereka kembali ke pejabat untuk bekerja.

Ujarnya lagi, untuk lebih berkesan, SOP di antara pelajar dan guru harus konsisten kerana ia akan memastikan setiap pihak saling mendapat manfaat.

Kata beliau, sekolah juga mesti teliti dalam melaksanakan pelaporan, pemantauan dan ujian gejala yang berkesan.

Ini kerana ada kanak-kanak dengan penyakit kronik seperti asma dan obesiti yang boleh menyebabkan mereka berisiko tinggi untuk dijangkiti, jelasnya.

"Penglibatan dengan ibu bapa mengenai kemasukan semula ke sekolah bagi golongan pelajar seperti ini mesti dipertimbangkan," ujarnya.

Pakar Mikrobiologi dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Zamberi Sekawi pula berkata, adalah penting untuk membuat keputusan berdasarkan situasi semasa, memandangkan Covid-19 perlahan-lahan beralih ke fasa endemik.

"Risiko kemasukan ke hospital juga lebih rendah ketika ini kerana vaksin.

"Jadi, pendekatan kementerian untuk membuka semula sekolah dan menerapkan SOP yang lebih ketat dapat dilihat sebagai peralihan yang lancar dalam membenarkan pelajar ke sekolah.

"SOP sememangnya membantu menurunkan risiko jangkitan tetapi dengan dalam masa yang sama, sekolah mesti berwaspada dalam melaksanakannya dengan dengan ketat," katanya yang juga Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia.

Belajar online bagus, tapi tak dapat ganti manfaat pembelajaran secara langsung

Pakar Pendidikan, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia, Azlina Kamal berkata, sekarang adalah masa untuk bertindak, mengambil kira bahaya yang tidak dapat dipulihkan daripada penutupan sekolah yang berpanjangan terhadap perkembangan kognitif dan sosioemosi, dan kesan psikososial dan kesejahteraan kepada kanak-kanak.

Katanya, Unicef ​​menyambut baik keputusan kementerian untuk membuka semula sekolah, sambil menambah bahawa lebih daripada lima juta kanak-kanak Malaysia telah kehilangan waktu belajar.

Gangguan kepada sistem pendidikan sejak awal 2020, katanya, telah menyebabkan kerugian dan ketidakseimbangan pembelajaran yang besar, di mana ia juga memberi kesan yang berbeza-beza kepada kanak-kanak yang terpinggir.

"Walaupun usaha untuk memberikan pengajaran dan pembelajaran secara jarak jauh sangat bagus, ada banyak cabaran untuk akses digital, dan ini tidak dapat menggantikan manfaat pembelajaran secara langsung yang diterima oleh anak-anak di sekolah.

"Lebih membimbangkan, ramai anak mungkin tidak kembali ke sekolah walaupun sekolah dibuka semula," katanya.

Beliau menambah, sekolah memainkan peranan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan penting dan makanan berkhasiat, perlindungan, dan sokongan psikososial.

"Oleh itu, penutupan sekolah juga mengganggu kesejahteraan dan perkembangan anak-anak, bukan hanya pembelajaran mereka," katanya lagi.

PANDANGAN

wang heng suan

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Wang Heng Suan

SOP terbaharu sangat diperlukan sekarang, ketika vaksinasi untuk pelajar masih dalam proses. Namun, kita mesti ingat bahawa SOP ini tidak dapat dipatuhi dengan ketat oleh pelajar berkeperluan khas.

Ini kerana terdapat pelbagai kategori pelajar berkeperluan khas yang perlu dibimbing sepanjang masa, guru dan pembantu guru tidak dapat mengekalkan jarak sosial daripada mereka.

Jadi, walaupun Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa semua individu harus mengikuti SOP dengan ketat, pelajar-pelajar ini mungkin tidak dapat ikutinya.

Ini adalah situasi yang berbeza berbanding dengan pelajar di sekolah arus perdana. Kita mesti memantau rapat mengikut situasi ini buat masa ini.

Kementerian walaubagaimanapun telah menggubal SOP yang wajar dan sesuai yang mesti diikuti. Kita tidak boleh mengurung anak-anak terlalu lama kerana mereka terlepas sebahagian daripada proses pembelajaran, dan guru harus mempersiapkan pelajar menghadapi peperiksaan.

mariani

Ahli psikologi Universiti SEGi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor

INI adalah bukti bahawa pakar dari pelbagai sektor terlibat dalam menggubal SOP terbaharu ini.

Mengambil sekolah berasrama sebagai contoh, sistem 'gelembung selamat' diperkenalkan untuk memastikan pelajar selamat dalam persekitaran mereka.

Ibu bapa dan masyarakat akan mempunyai keyakinan untuk membenarkan anak mereka kembali ke sekolah dengan SOP baharu yang diperketatkan dan bagi mereka yang tidak yakin, adalah normal untuk berasa sedemikian.

Mereka mempunyai pandangan dan kepercayaan sendiri, dan semua ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Menerusi SOP terbaharu, ibu bapa diberi kuasa untuk membuat keputusan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Ini penting kerana sekolah harus menjadi tempat yang selamat yang mampu menyokong dan melindungi anak-anak dan ibu bapa.

azlina

Pakar Pendidikan, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia, Azlina Kamal

Membuka semula sekolah adalah sangat penting tetapi itu sahaja tidak cukup.

Kita perlu bekerjasama untuk merancang, mengutamakan, dan memastikan bahawa semua kanak-kanak kembali ke sekolah; sekolah ambil semua langkah untuk memastikannya dibuka dengan selamat; kanak-kanak menerima pembelajaran pemulihan yang berterusan dan perkhidmatan yang komprehensif untuk membantu mereka menyesuaikan diri; dan guru disokong untuk mengatasi kelompongan pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.

Kita akan mempunyai peluang untuk membina semula dengan lebih baik dengan menggunakan strategi pemulihan krisis yang paling berkesan sebagai asas untuk penambahbaikan jangka panjang.

Ini termasuk memantau keciciran dan ketidakterlibatan pelajar; peranan berterusan untuk pembelajaran jarak jauh; rancangan untuk pemulihan dan mengesan keberkesanannya; pendekatan baru dan perubahan peranan penilaian pembelajaran; mengambilkira keputusan untuk buka semula sekolah berdasarkan keadaan setempat; keberkesanan kesihatan dan langkah keselamatan; pengembangan kemahiran dan sokongan kepada guru; dan sokongan psikososial untuk kesejahteraan dan kesihatan mental yang lebih baik.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain