suria

30.1 peratus murid terima dos pertama vaksin Covid-19

PROGRAM pemberian vaksin melibatkan murid dan pelajar sekolah di seluruh negara berjalan lancar dan mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa. —The Star

SEBANYAK 30.1 peratus daripada 2.53 juta murid berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, kata Dr Mah Hang Soon.

Timbalan Menteri Pendidikan 1 itu berkata, 4.4 peratus murid daripada jumlah itu juga telah lengkap dua dos vaksin Covid-19, yang dilaksanakan di 687 pusat pemberian vaksin (PPV) awam, sekolah, institusi pengajian tinggi, klinik kerajaan dan balai polis.

"Sebanyak 63.3 peratus daripada 834,857 murid berusia 16 hingga 17 tahun telah menerima dos pertama manakala 10.9 peratus daripada 1.64 juta murid berusia 12 hingga 15 tahun mendapat dos pertama mereka.

"Secara keseluruhan program pemberian vaksin melibatkan murid dan pelajar sekolah di seluruh negara berjalan lancar dan mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa," katanya.

Mengulas lanjut, Hang Soon berkata, di Melaka, sebanyak 50.1 peratus daripada 26,683 murid berusia 16 hingga 17 tahun telah mendapat dos pertama manakala bagi murid berusia 12 hingga 15 tahun, sebanyak 11.5 peratus daripada 51,284 murid telah menerima dos pertama di sembilan PPV awam melibatkan 76 sekolah menengah.

Beliau berkata, pihaknya menerusi Jabatan Pendidikan Negeri sedang melakukan pelbagai usaha untuk menggalakkan lebih banyak ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

"Kita masih berada di peringkat awal PICK Remaja ini dan kita sedang memantau pelaksanaan program ini untuk melihat usaha yang boleh dilakukan bagi menggalakkan lebih ramai murid menerima vaksin," katanya. — The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

vaksin, Covid-19, murid

Artikel Lain