suria

Prihatin nasib PKS saat pandemik melanda, pelbagai bantuan tersedia bagi menjamin kelangsungan industri

Situasi lengang di Jalan Pasar, lokasi popular yang penjual barang elektrik di Kuala Lumpur yang terpaksa menutup perniagaan kerana PKP.Foto: Glenn Guan/The Star

BERBICARA mengenai istilah 'kluster tempat kerja', bagi kes Covid-19, di negara ini, anggapan umum adalah kluster itu berpunca daripada pekerja yang dijangkiti di sesuatu tempat kerja itu dan penularannya berkisar dalam kalangan mereka.

Sedangkan hakikatnya, sumber bagi kes Covid-19 di tempat kerja kebanyakannya ada kaitan dengan kes dalam komuniti yang dibawa ke tempat kerja iaitu kes sporadik yang peratusannya sangat tinggi.

Para majikan telah berulang kali menegaskan bahawa sumber kepada kes di tempat mereka lazimnya berpunca dari luar kerana mereka sudah mengambil langkah yang sangat ketat untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi di tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga telah memberi amaran mengenai peningkatan angka kes sporadik Covid-19 ini yang memerlukan tindakan susulan terhadap pelaksanaan langkah-langkah kesihatan awam sedia ada.

Disebabkan kes sporadik dan kelonggaran pematuhan SOP di tempat lain ini, telah menyebabkan banyak perusahaan dan perniagaan mendapat tempias dan akhirnya mereka yang terpaksa menghentikan operasi walaupun hanya seorang pekerja disyaki dijangkiti virus berbahaya itu.

Ramai yang turut menuding jari kepada sektor perkilangan sebagai punca utama peningkatan kes Covid-19 di negara ini berasaskan istilah ‘kluster tempat kerja’ itu dan Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai telah menafikannya.

PKS 2

Pemeriksaan dan pemantauan oleh PDRM di sebuah kilang di Shah Alam. Foto: Chan Tak Kong

"Kami perhatikan bahawa daripada jumlah kumulatif 662,457 kes yang dilaporkan pada 14 Jun 2021, hanya 147,040 daripada kluster tempat kerja yang mana 95,156 adalah daripada sektor pembuatan. Jumlah yang rendah iaitu 14.36 peratus menunjukkan bahawa kluster kilang bukanlah sumber jangkitan utama.

"Di samping itu, bukti daripada data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bahawa 398,846 daripada jumlah 578,105 atau 69 peratus kes Covid-19 yang dicatatkan pada tahun ini hingga 19 Jun 2021 adalah kes sporadik, iaitu kes yang dikesan dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster yang ada.

"Dengan kehadiran virus dalam komuniti, ia mudah disebarkan ke kilang terutama melalui kes tanpa gejala walaupun semua SOP dan langkah pencegahan di tempat kerja sudah diambil," katanya.

Menurut Soh, punca jangkitan ini sering kali tidak dapat dikesan dalam kalangan masyarakat, sebaliknya di tempat kerja mudah di mana lebih ramai pekerja disaring akibat satu kes positif.

"Ia kemudian diklasifikasikan sebagai kluster tempat kerja oleh kerajaan yang mana menimbulkan salah faham yang merumuskan tempat kerja adalah sumber utama jangkitan," katanya.

Memahami akan kebanyakan perusahaan dan perniagaan terpaksa ditutup operasi kerana didakwa sebagai punca peningkatan kes positif dan kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan telah menyediakan pakej bantuan kewangan berjumlah RM530 bilion untuk industri penting dan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Penyediaan pakej bantuan ini bermula pada Mac 2020, apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan pakej sokongan kewangan pertama untuk menangani krisis akibat pandemik ini, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (Prihatin) bernilai RM250 bilion.

Ini disusuli dengan tujuh lagi pakej ekonomi iaitu Prihatin Plus (RM10 bilion), Penjana (RM35 bilion), Kita Prihatin (RM10 bilion), Permai (RM15 bilion), Pemerkasa (RM20 bilion), Pemerkasa + (RM40 bilion) dan Pemulih (RM150 bilion).

PKS 3

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai (kanan). Foto: S.S Kanesan/ The Star

Memandangkan kerajaan berdepan dengan pandemik Covid-19 ketika ekonomi negara berada dalam keadaan tidak stabil disebabkan pelbagai faktor dalaman dan luaran, pentadbiran dan pengurusan sebelumnya, pakej kewangan ini harus dipuji kerana inisiatifnya dikaji dengan teliti kerana kerajaan bertanggungjawab meletakkan kedudukan fiskal dan kewangan, mata wang serta inflasi negara dalam risiko, jika tersalah langkah.

Memandangkan ekonomi Malaysia bertunjangkan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kerajaan telah memastikan pelbagai bantuan diberikan kepada industri yang mendapat tempias paling hebat dan terkesan daripada pandemik ini dan daripada pelaksanaan PKP untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Menurut Jabatan Perangkaan, PKS menyumbang sebanyak 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 48.4 peratus untuk peluang pekerjaan di Malaysia pada 2019.

Di bawah Geran Khas Prihatin 3.0. bayaran one-off RM1,000 diberikan kepada setiap PKS Mikro mulai Jun, tambahan RM500 di bawah Pemerkasa+ dan di bawah Pemulih pula diperkenalkan GKP 4.0.

Selain GKP, banyak lagi insiatif kerajaan yang boleh dimanfaatkan oleh PKS untuk perancangan memulihkan perniagaan mereka dalam jangka panjang.

Kesemua usahawan PKS menikmati moratorium pinjaman selama enam bulan secara automatik di bawah Prihatin, manakala perusahaan mikro pula menikmati moratorium pinjaman enam bulan di bawah Pemulih.

Kementerian Kewangan turut menggalakkan bank dan institusi kewangan lain untuk menawarkan lebih banyak bantuan kepada perniagaan yang terkesan agar mereka dapat menstruktur kembali pinjaman atau menangguhkan pembayaran berdasarkan skim yang disasarkan.

Perkara yang wajar diutamakan adalah penstrukturan pembayaran hutang supaya usahawan PKS mempunyai kecairan dan aliran tunai yang mencukupi.

Penstrukturan semula hutang korporat dan individu melalui moratorium pinjaman dianggap sebagai kaedah yang lebih sesuai supaya dapat mengekalkan aliran tunai, dan bukannya menutup operasi perniagaan PKS sepenuhnya.

PKS 4

Kerajaan melancarkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sebanyak RM 150 bilion bagi membantu PKS mendepani cabaran ketika pandemik Covid-19.

Program subsidi upah yang berjalan lebih daripada setahun sehingga kini juga mampu membuatkan ramai majikan Malaysia menggaji pekerja dan mengelakkan pemberhentian pekerja.

Selain perlu melunaskan sewa premis, membayar gaji pekerja daripada hasil keuntungan kecil juga adalah beban yang perlu ditanggung oleh usahawan PKS.

Subsidi gaji yang dikenakan untuk PKS pada umumnya memberi kesan penurunan pendapatan sebanyak 30 peratus.

Menerusi program ini, ia membayar kepada PKS sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, sehingga 500 pekerja bagi setiap PKS.

Di bawah Prihatin pula, subsidi gaji adalah RM1,200 setiap orang di bawah skim pertama dan had gaji RM4,000 di bawah Pemulih.

Setiap PKS dengan 500 pekerja dapat menikmati subsidi sebanyak RM300,000 sebulan selama 13 bulan, manakala bagi industri terpilih yang tidak mendapat subsidi, berpeluang menikmati subsidi gaji tambahan selama enam bulan.

GRAFIK PKS

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain