suria

Kes Covid-19 meningkat... kerajaan dicadang guna hotel, kem PLKN sebagai pusat kuarantin

Penempatan untuk menjalani kuarantin. -gambar hiasan (gambar kecil) Mustafa Shah.

PENINGKATAN kes Covid-19 menyebabkan penempatan pusat kuarantin sedia ada semakin terhad.

Kerajaan dicadang untuk menjadikan hotel-hotel milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pusat kuarantin pesakit Covid-19 bagi menampung keperluan pusat kuarantin sedia ada.

Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, selain itu, jika pesakit Covid-19 ini menjalani kuarantin di rumah, mereka boleh membahayakan kesihatan isi rumah yang lain kerana mudah dijangkiti.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Adun gesa tiada lagi kuarantin di rumah selepas kes 'super spreader' di rumah panjang

ARTIKEL BERKAITAN: Makcik positif Covid-19 tertanya-tanya kenapa KKM tak datang ambil, mujur duduk diam-diam di rumah! - "Dalam senarai beribu-ribu sehari, memang tak terkejar"

Menurutnya, kos untuk mendiami hotel ini perlu ditanggung oleh mana-mana pesakit yang berkemampuan seperti mana proses kuarantin individu dari luar negara ke Malaysia.

"Saban hari, rakyat Malaysia dimaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenai pandemik Covid-19 serta jumlah pesakit yang kian bertambah dan membimbangkan.

"Dengan peningkatan jumlah pesakit ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menghadapi situasi yang mana bilangan katil bagi pusat-pusat kuarantin semakin terhad," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Kangsar berkata, sekiranya terdapat pihak swasta yang ingin turut melibatkan diri menaja mana-mana hotel bajet untuk tujuan yang sama, kerajaan boleh mengecualikan cukai tahunan sebagai timbal balik atas komitmen membantu memerangi pandemik ini.

Mustafa Shah berkata, ia secara tidak langsung dapat membantu perniagaan hotel yang terjejas kini.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang tidak lagi digunakan dijadikan sebagai pusat kuarantin Covid-19.

"Kerajaan juga wajar mengkaji semula mana-mana premis kem PLKN yang kini kosong tidak digunakan langsung.

"Sekiranya fasiliti ini digunapakai kelak, ianya sedikit sebanyak akan membantu kerajaan menangani lambakan suspek pesakit Covid-19 di seluruh negara dan menjimatkan kos untuk mewujudkan pusat-pusat kuarantin baharu bagi tujuan tersebut," katanya. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain