suria

PKP sudah memadai untuk kawal Covid-19, Warisan hantar surat rayu Agong batal darurat - Shafie Apdal

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan beliau dan Ahli Parlimen Warisan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi meminta perkenan Seri Paduka Baginda menggugurkan pengisytiharan darurat. FOTO: Zulazhar Sheblee.

SEPERTI yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes Covid-19 saban hari masih lagi mencatatkan angka yang cukup tinggi.

Terbaharu, Parti Warisan Sabah (Warisan) bagaimanapun berpandangan bahawa langkah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mencukupi untuk mengawal pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada pilihan raya... ini info penting lain yang perlu anda tahu sepanjang tempoh darurat

Susulan itu, presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan beliau dan Ahli Parlimen Warisan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi meminta perkenan Seri Paduka Baginda menggugurkan pengisytiharan darurat.

"Saya bersama semua Ahli Parlimen Warisan sudah hantar surat. Kita merayu pada Tuanku (Seri Paduka Baginda), kalau boleh darurat ini ditiadakan oleh kerana langkah PKP merupakan langkah yang mencukupi untuk membendung keadaan yang ada.

"Di mana-mana tempat di seluruh dunia menggunakan PKP, cuma ia perlu diperketatkan di sesetengah tempat," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat beberapa rumah yang terjejas akibat fenomena air pasang di Kampung Tanjung Aru Baru pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata surat itu bukan untuk menderhaka namun ia hanya rayuan mereka sebagai ahli Parlimen.

"Kebimbangan saya adalah dari sudut perundangan, dalam perlembagaan walaupun dibolehkan darurat itu diumumkan atas dasar keselamatan sebuah negara dan pandemik kesihatan yang begitu membimbangkan tetapi bagi kita untuk isytihar darurat, ini bukan masa yang sesuai.

"Jadi kita merayu, bukan kita desak, kita akur dengan sebarang keputusan yang dilakukan Tuanku (Seri Paduka Baginda), cuma kita berpandangan selaku Ahli Parlimen Pembangkang, perlu kita suburkan dari segi perundangan di negara ini," katanya.

Tambah beliau, politik bukan menjadi keutamaan ketika ini tetapi selamatkan nyawa rakyat dan ekonomi negara adalah perkara penting.

Pada Rabu lalu, ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa majoriti ahli Parlimen sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi meminta perkenan Seri Paduka Baginda menggugurkan pengisytiharan darurat.

Terdahulu, mengulas berhubung lawatannya itu, Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah meminta setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan menunaikan tanggungjawab mereka di kawasan masing-masing dengan membantu keluarga yang terjejas akibat banjir atau fenomena air pasang.

Hadir sama, ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong dan ADUN Petagas, Awang Ahmad Sah. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain