suria

Warga emas positif Covid-19 ditemui mati dengan kesan kelar di rumah

Mangsa yang disahkan positif Covid-19 ditemui mati di rumahnya. -gambar hiasan

SEORANG lelaki warga emas yang disahkan positif Covid-19, ditemui mati di rumahnya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor, pada Jumaat.

Mangsa ditemui mati dengan kesan kelar pada tengkuknya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, polis dan anggota dari Kementerian Kesihatan bergegas ke lokasi kejadian pada kira-kira pukul 9 malam Jumaat.

"Hasil pemeriksaan menunjukkan tiada unsur jenayah. Kita temui kesan kelar pada tengkuk lelaki berusia 66 tahun itu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat malam.

Tambah Razali, polis turut menemui pisau yang masih berada di sebelah mayat mangsa.

"Siasatan menunjukkan bahawa lelaki itu melakukan ujian swab di hospital swasta pada 7 Januari dan disahkan positif Covid-19 pada keesokan harinya. Ujian swab kedua dilakukan pada 18 Januari dan hasilnya pada 20 Januari menunjukkan bahawa dia masih positif," katanya.

"Mangsa mengajak isterinya ke bank pada Jumaat untuk memindahkan wang sebanyak RM40,000 untuk tujuan rawatan Covid-19.

"Menurut isterinya, mangsa kerap mengadu kesakitan dan berada dalam keadaan murung apabila disahkan positif Covid-19," tambah Razali.

Razali berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Orang ramai di negara ini dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau layari www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain