suria

9 pokok ganja ditemui dalam rumah, calon kerusi parlimen PRU-14 didakwa proses dadah sendiri

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek berusia 35 tahun itu adalah bekas calon bagi satu kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

POLIS pada Jumaat mendedahkan penahanan seorang ahli politik yang dipercayai mengedar dadah di Pudu, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, dalam serbuan itu, polis merampas 40 botol mengandungi 400 milimeter (ml) cecair dadah, wang tunai RM250 selain sebuah motosikal.

Difahamkan, suspek berusia 35 tahun itu adalah bekas calon bagi satu kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, ditahan kira-kira jam 1.45 petang dan turut dirampas polis adalah cecair disyaki dadah jenis ketamin.

Menurutnya, pihaknya menyerbu rumah suspek di Ampang, Selangor pada jam 7.30 petang.

"Pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemui sembilan pokok ganja dianggarkan bernilai RM4,500, daun kering disyaki ganja (RM3,000) serta cecair dadah disyaki ketamin dan THC (RM53,100)," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, difahamkan suspek menghasilkan sendiri dadah berkenaan dengan campuran ganja dan ketamin sebelum menjualnya pada harga RM300 sebotol.

Katanya, ketika soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kegiatan itu sejak Oktober lalu.

"Suspek direman tujuh hari sehingga 27 Januari. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6B akta sama," katanya.

Difahamkan, isteri bersama pembantu rumah suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain