suria

KPLB peruntuk RM10.2 bilion, 20 program basmi kemiskinan... penduduk luar bandar terjejas PKP boleh tarik nafas lega

Abd Latiff ketika Walkabout & Pelancaran Premis Program Rural Business Outlet (RBO@KPLB) di Anggerik Mall, Shah Alam.

TAHUN 2020 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran ekoran pandemik Covid-19 yang mula menyerang negara bermula dengan kes pertama yang direkodkan pada penghujung Januari.

Peningkatan kes Covid-19 susulan gelombang kedua pada Mac tahun lalu menyaksikan kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi mengekang penularan virus berkenaan.

Keadaan ini sekali gus memberi impak yang bukan calang-calang kepada sebilangan besar rakyat di negara ini, apabila rata-ratanya kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, baik di bandar mahupun di luar bandar.

Tahun 2021 pula menyaksikan penularan kes Covid-19 memasuki gelombang ketiga dengan jumlah kes mencecah empat angka sejak bulan lalu, sekali gus memaksa kerajaan kembali menguatkuasakan PKP 2.0 dan keadaan ini benar-benar membuatkan rakyat makin 'terhimpit'.

Untuk rekod, Paras Garis Kemiskinan telah dipinda daripada RM960 kepada RM2,208 pada tahun 2019, dan ini menyebabkan bilangan isi rumah miskin di luar bandar meningkat daripada 78,187 isi rumah pada bulan April 2020 kepada 182,116 isi rumah.

Bilangan ini dijangka meningkat berikutan pelaksanaan PKP yang menyukarkan rakyat untuk keluar bekerja.

Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tampil dengan fokus bagi 2021, yang mana antara keutamaannya adalah membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

Menurut menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, KPLB memperuntukkan sejumlah RM10.2 bilion untuk 2021, dengan RM6.65 bilion untuk peruntukan pembangunan dan RM3.53 bilion bagi peruntukan mengurus.



Hari Bertemu Pelanggan bersama YB Menteri Pembangunan Luar Bandar, antara inisiatif yang dijalankan bagi merapatkan hubungan kementerian dan masyarakat luar bandar.

Abd Latiff yang juga ahli Parlimen Mersing berkata KPLB juga memberi fokus kepada empat cabang utama iaitu projek infrastruktur (539 projek), pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan (20 program), pembangunan modal insan dan industri mengikut kehendak pasaran TVET@ KPLB.

"Terdapat kira-kira 20 program berkaitan pembasmian kemiskinan di KPLB. Tumpuan juga perlu diberikan untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

"KPLB akan memperkasakan ekonomi luar bandar dengan mempelopori sumber ekonomi baharu, memperkenal strategi baharu untuk aktiviti pelancongan desa dan ekopelancongan yang terkesan teruk berikutan penularan wabak Covid-19;

"Memperkukuh sistem rantaian bekalan dan pemasaran produk usahawan luar bandar. Ini boleh dilaksanakan menerusi Desamall@KPLB, di mana KPLB dan usahawan luar bandar boleh mengambil peluang semasa PKP ini untuk meningkatkan jualan dalam talian," kata Abd Latiff.

Bagi memastikan kecekapan dan ketelusan pengurusan pentadbiran, jelas Abd Latiff, KPLB menekankan inisiatif untuk menambah baik aspek integriti dan tadbir urus kerajaan.

"Dalam hal ini, saya menyeru warga KPLB untuk menghayati dan mematuhi Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang telah dibangunkan bagi menangani isu-isu governans, integriti dan rasuah.

"Sebanyak 18 inisiatif telah digariskan dan akan dilaksanakan oleh pelbagai bahagian/unit berdasarkan bidang keutamaan masing-masing bagi mencapai visi 'KPLB Sejahtera Tanpa Rasuah'," ujarnya.

Tambah Abd Latiff lagi, Pelan Komunikasi Strategik perlu dibangunkan bagi memastikan semua pihak mendapat maklumat dan kefahaman yang jelas tentang pelaksanaan inisiatif KPLB dan seterusnya memberikan impak yang tinggi kepada golongan sasaran.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain