suria

Anak yatim, OKU antara 43,000 mesej minta tablet, Ebit Lew mohon maaf tak dapat bantu semua - “Ampunkan dosa saya”

Ebit menzahirkan permohonan maaf seandainya tidak berkesempatan membantu semua masyarakat yang memerlukan di negara ini.

NAMA Ustaz Ebit Lew bagaikan tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Malah, segala usaha murni pendakwah itu dalam lapangan kerja kebajikan sering menyentuh hati netizen dan menjadi perbualan ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ebit beri sumbangan 100 tablet untuk golongan pelajar memerlukan ikuti kelas online

Pada Khamis misalnya, Ebit mengumumkan sumbangan berupa 100 tablet kepada pelajar yang memerlukan bagi mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh pandemik ini.

Dalam tempoh sehari, dia memaklumkan dihujani 43,000 mesej untuk memohon bantuan sama, sekaligus membuktikan ramai pelajar dan ibu bapa yang terhimpit sejak kaedah pembelajaran dalam talian dilaksanakan.

"Sayu rasa hati. Dalam separuh hari sahaja 43,000 mesej atau 43,000 orang perlu tablet untuk anak belajar.

"Ramai juga yang Orang Kelainan Upaya (OKU), tiada pekerjaan, anak yatim piatu, kerja gaji kecil. Semua bangsa ada dari semua negeri," ujarnya menerusi Facebook pada Jumaat.

Selain gajet itu, Ebit turut mendedahkan dia menerima 8,000 permohonan bantuan kerusi roda.

Namun, dia turut menzahirkan permohonan maaf seandainya tidak berkesempatan membantu semua masyarakat yang memerlukan di negara ini.

"Maafkan saya. Semoga Allah ampunkan dosa saya. Ya Allah siapa sahaja yang benar-benar memerlukan permudahkanlah.

"Lapangkanlah buat saudaraku semua. Semoga menjadi asbab kebaikan dan hidayah," luahnya di Facebook.

Posting yang dikongsi Ebit itu menerima hampir 100,000 tanda suka dalam tempoh dua jam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain