suria

Tiada pilihan raya… ini info penting lain yang perlu anda tahu sepanjang tempoh darurat

Darurat yang dilaksanakan di negara ini tidak menyaksikan rakyat dikenakan perintah berkurung.

PELAKSANAAN darurat sebagaimana yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bukan merupakan satu bentuk peralihan kuasa tentera ataupun pelaksanaan perintah berkurung.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sepanjang tempoh darurat kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa sama ada di peringkat pentadbiran persekutuan mahupun negeri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Muhyiddin, dengan pelaksanaan darurat tersebut, pilihan raya umum tidak boleh diadakan manakala parlimen juga tidak akan bersidang sepanjang tempoh yang diwartakan.

Berikut beberapa info penting yang perlu anda tahu mengenai pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos 2021:

1) Sepanjang tempoh darurat, jika Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Seri Paduka Baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa.

2) Suatu ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain kuasa yang sedia ada, mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau mana-mana undang-undang penguatkuasaan lain yang berkaitan.

3) ATM diperuntukkan kuasa untuk membantu melaksanakan fungsi-fungsi berhubung dengan kesihatan awam dan fungsi-fungsi yang dijalankan oleh pegawai awam yang berkaitan semasa pandemik ini.

4) Aspek kawalan sempadan negara juga akan diperketatkan dengan memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk menangkap PATI dan sesiapa sahaja yang menceroboh sempadan negara.

5) Ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk meningkatkan keberkesanan dalam membendung penularan COVID-19, termasuklah meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak COVID-19.

6) Ordinan-ordinan yang bertujuan untuk memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa pandemik juga boleh dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda.

7) Kuasa eksekutif Persekutuan meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan negeri kecuali bagi apa-apa perkara hukum syarak atau adat Melayu atau mengenai adat anak negeri di Sabah atau Sarawak, agama, kewarganegaraan dan bahasa.

8) Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

9) Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan.

10) Sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan di bawah suatu Ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

darurat, Covid-19, Perdana Menteri, Agong

Artikel Lain