suria

Satu kes mutasi baharu Covid-19 di Malaysia libatkan pengembara dengan sejarah perjalanan ke UK - KKM

Malaysia melaporkan kes pertama mutasi baharu Covid-19 selepas seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom. -Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan mutasi baharu Covid-19 yang dikenali sebagai UK B.1.1.7 atau 202012/01 mutasi protein Spike telah dikesan di Malaysia pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes tersebut telah dilaporkan daripada seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada Disember 2020.

"Pengembara tersebut didapati positif pada 28 Disember 2020 dan telah diasingkan untuk rawatan lanjut," kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan di Facebook, malam Isnin.

Menurut Dr Noor Hisham, sejak Oktober 2020, KKM telah melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara-negara yang telah melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk dari United Kingdom, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.

Menurut beliau, sebanyak 968 sampel telah diuji sejak Oktober 2020 dan 'genome sequencing' telah dilakukan bagi mengesan jenis mutasi UK B.1.1.7 ini kepada 24 sampel.

Setakat 11 Januari 2021, tiada penularan dalam negara telah dikesan berkaitan virus mutasi UK B.1.1.7 tersebut, kata Dr Noor Hisham.

Tambah beliau, KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan CPRC Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B.1.1.7 ini dan akan memberi maklumat dari semasa ke semasa.

"Walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak menyebabkan gejala yang teruk, namun, ia boleh menular dengan mudah dan cepat. Orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain