suria

Ketukan pintu misteri merebak ke Klang pula! Penduduk mahu adakan solat hajat

Antara penampakan yang didakwa sebagai pocong yang berjaya dirakam penduduk di sebuah kampung di Sabak Bernam, bulan lalu.

KEBELAKANGAN ini media sosial kecoh dengan kejadian ketukan pintu yang sehingga kini masih diselubungi misteri.

Insiden yang pada mulanya bermula di Sabak Bernam, Selangor itu kini dilaporkan merebak ke daerah dan negeri lain.

Terbaharu, kejadian bunyi ketukan dan orang berlari atas bumbung menghantui penduduk di Pandamaran Jaya, Klang pula.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh! Selepas Sabak Bernam, misteri ketukan pintu didakwa beralih ke Negeri Sembilan... penduduk dinasihat ‘jika diketuk 7 kali jangan buka’, ini jawab Rukun Tetangga

Memetik laporan Utusan, susulan kejadian misteri itu, ahli jawatankuasa masjid dan penduduk kampung berhasrat untuk mengadakan solat hajat meminta agar insiden berkenaan tidak berlaku lagi.

Menurut Ketua Kampung Pandamaran Jaya, Mohamad Zahiruddin Mohamad jika sebelum ini kejadian berlaku di Jalan 4, Jalan 12, Jalan 78, namun kini merebak ke Jalan 10,77 dan 12.

"Kita juga bercadang untuk menggunakan khidmat pengamal perubatan Islam sebagai langkah menghentikan gangguan berkenaan yang sehingga kini sukar dikesan sama ada dilakukan individu tertentu atau dikaitkan dengan perbuatan mistik,"katanya kepada portal berkenaan.

Mohamad Zahiruddin berkata, pihaknya masih dalam proses perbincangan untuk menghantar surat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk meminta kebenaran mengadakan solat berkenaan dan akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Permohonan ini perlu mendapat kelulusan Jais ekoran Selangor masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 20 Disember depan," katanya lagi.

Untuk rekod, bulan lalu beberapa kampung di Sabak Bernam dihantui ketukan misteri yang berlaku pada tengah malam.

Bagaimanapun selepas kira-kira tiga minggu, ketukan misteri itu berakhir apabila tiada lagi kes baharu dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superitendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan perkara berkenaan sambil menambah pihaknya tetap melakukan rondaan meskipun gangguan sudah berakhir.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

ketukan pintu, solat hajat, Klang

Artikel Lain