suria

“Bukan saya nak bebel” – Ismail Sabri ingatkan penduduk kawasan Temco jangan redah sawah, ikut lorong tikus... hukuman berat jika ditahan!

Ismail Sabri sentiasa memberi peringatan kepada rakyat mengenai kawalan kendiri. Foto Bernama

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa peringatannya selama ini kerana virus Covid-19 masih berada dalam persekitaran di negara ini, termasuk negara-negara seluruh dunia.

Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan) itu menjelaskan bahawa tiada niat untuk beliau berleter tetapi peringatannya demi kepentingan bersama.

"Bukan saya nak membebel. Orang kata setiap kali saya bercakap, saya nak membebel je setiap kali penutup. Sebenarnya ini adalah untuk kepentingan semua. Untuk menjaga kepentingan diri sendiri, keluarga kita dan juga masyarakat sekitar

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kampung di Kuala Sanglang dikenakan Temco mulai malam ini hingga 4 September

ARTIKEL BERKAITAN: Jangkitan kedai nasi kandar merebak lebih pantas banding 9 kluster lain - Dr Noor Hisham

"Kejadian di Kedah dan Perlis, kita tidak duga. Ia berlaku apabila kes kita telah pun menurun begitu baik sekali, satu angka berturut-turut. Kosong selama tiga hari," katanya pada sidang media petang Khamis, yang merujuk kepada peningkatan kes Covid-19 di negara ini sejak kebelakangan ini termasuk berpunca daripada kluster Sivagangga.

Ismail Sabri berkata, penduduk setempat dan orang luar dilarang melakukan pergerakan keluar masuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar Secara Pentadbiran (Temco) di Kedah dan Perlis.

Bagaimanapun katanya, penduduk setempat di dalam kawasan Temco berkenaan bebas bergerak.

"Saya dengar ada kampung di Kedah, yang mana satu rumah di satu daerah mempunyai lapan kes satu keluarga.

"Kita tutup, lock down rumah tersebut dan kesemua lapan sekeluarga tersebut dihantar ke hospital untuk dikuarantin dan disaring.

"Ini bermakna kes ini jelas menunjukkan bahawa ia sentiasa berada di sekeliling kita dan tiba-tiba boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Sebab itulah amalkan kawalan kendiri untuk terus kekal selamat," katanya.



Pekan kecil Napoh lengang berikutan pelaksanaan Temco di Kubang Pasu, Kedah, Foto Bernama

Menurut Ismail Sabri, beliau turut difahamkan bukan semua kawasan dilaksanakan sekatan jalan raya atas faktor geografi seperti sawah padi.

"Tetapi tidak semua tempat terlindung, boleh ada sekatan jalan raya. Sebab di kawasan-kawasan di Kedah, ada batas-batas sawah misalnya, kita tidak boleh letak polis di merata-rata batas sawah di perkampungan di Kedah.

"Saya difahamkan banyak lorong tikus sebenarnya di kawasan-kawasan itu. Kita boleh letak barb wire (kawat duri) di kawasan tertentu saja. Tapi di jalan batas sawah dan sebagainya mungkin tak boleh.

"Pihak polis telah pun ditugaskan. Walaupun polis tidak menjaga tetap di kawasan itu, tetapi polis akan mengawal, adakan spot check bagi memastikan mereka tidak keluar.

"Kalau mereka keluar sekali pun, jika ditangkap mereka juga akan dikenakan hukuman yang berat," katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada semua penduduk di kawasan yang dikenakan Temco agar menjaga diri masing-masing dan juga kepentingan orang lain.

"Kerana kalau mereka keluar, kuarantin selama 14 hari di kawasan tersebut masih belum selesai jadi bahayanya mungkin masih ada.

"Kalau mereka keluar, mereka akan membawa gejala atau membahayakan orang lain kalau mereka didapati positif nanti.

"Saya haraplah bukan saja kita jaga kita, tapi kita juga kena ada timbang rasa untuk menjaga kepentingan orang lain. Jadi, tolonglah. Janganlah meredah sawah semata-mata untuk keluar," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain