suria

Tujuh sekeluarga dikebumikan dalam satu liang lahat, sempat video call sebelum nahas - “Ibu kelihatan gembira”

Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad. Foto Bernama

AHLI keluarga sempat membuat panggilan video terakhir dengan ibu mereka yang merupakan salah seorang daripada tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan di Simpang Pulai petang Selasa.

Menurut laporan Bernama, Mohd Zairul Mat Isa yang maut bersama enam lagi ahli keluarga termasuk isteri, anak dan ibunya dalam kemalangan di Simpang Pulai petang Selasa, baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan pada 3 Ogos lepas.

Perkara itu dikongsikan abangnya Mohd Zakri, 37 yang berkata Mohd Zairul, 35 berserta sembilan lagi ahli keluarga termasuk sepupu, pergi bercuti di Pulau Pangkor pada Ahad lalu sebelum singgah bermalam di Cameron Highlands pada Isnin dan bertolak pulang ke Serdang, Kedah pada Selasa.

"Kami menerima khabar berita mengenai kejadian ini kira-kira 7.30 malam daripada seorang abang dan sepupu saya yang mengetahui menerusi berita di televisyen. Pada mulanya kami tak berapa pasti tetapi menerusi gerak hati sepupu saya mengatakan itu memang keluarga kami yang kemalangan.

"Selepas diperiksa kesahihannya, baru kami dapat sahkan yang kemalangan itu adik saya dan sepupu," katanya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Rabu.

Menceritakan lebih lanjut, Mohd Zakri berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik ialah pada sambutan Aidiladha baru-baru ini.

"Adik perempuan saya ada membuat panggilan video dengan ibu saya (Fatimah Mat Isa, 68) semasa percutian dan itu kali terakhir berhubung dengannya yang kelihatan gembira," katanya.



MPV jenis Perodua Alza dalam kemalangan membabitkan dengan sebuah lori. Foto Bernama

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz pagi Rabu mengesahkan selain Mohd Zairul, turut meninggal dalam nahas itu ialah isterinya Nuratiqah Abd Hamid, 30, anak perempuan mereka Nur Qaseh Damia, 4, serta ibu Mohd Zairul, Fatimah Mat Isa, 68.

Turut maut Zulkifli Shuib, 49, iaitu sepupu Mohd Zairul, isterinya Hasliza Mahmud, 40 serta anak kandung Hasliza yang juga anak tiri Zulkifli, dikenali sebagai Mohd Alif Firdaus, 3.

Dua lagi anak Hasliza dikenali sebagai Apit, 16, serta Firash Mikhael Azrie Syah, 11, mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di zon merah HRPB, manakala pemandu treler seorang lelaki berumur 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Turut cedera ialah seorang lagi anak Mohd Zairul, Haziq Zikri, 9, yang mengalami patah tangan kanan.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, tujuh daripada 10 yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut selepas kenderaan mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Km5, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands.

Siasatan awal polis mendapati MPV yang dipandu Mohd Zairul itu dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan jenazah tujuh sekeluarga dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah dekat Kulim, Kedah, kira-kira pukul 6.10 petang Rabu dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh sebaik sahaja proses bedah siasat selesai.

Solat jenazah kemudian disempurnakan di pekarangan tanah perkuburan pada pukul 6.30 petang.

Kira-kira 1,000 orang mengiringi jenazah ke kawasan perkuburan yang dikebumikan dalam satu liang lahad.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain