suria

Jangkitan kedai nasi kandar merebak lebih pantas banding 9 kluster lain - Dr Noor Hisham

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Foto Bernama

KLUSTER Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga di Kedah dan Kluster Ulu Tiram kini menjadi kumpulan sasar bagi pendekatan tertumpu jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi Kluster Ulu Tiram yang dikesan daripada sebuah gereja roman Katolik, saringan bukan sahaja dilakukan di Johor, malah di negeri-negeri lain.

Bagi Kluster PUI Sivagangga, beliau berkata, saringan lebih tertumpu kepada mereka yang berkunjung ke kawasan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: 15 kes baharu Covid-19, termasuk 6 jangkitan kedai nasi kandar

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada arahan kepada yang balik raya di Kubang Pasu... ini senarai individu perlu buat saringan Covid-19

"Sekarang ini saringan dibuat kepada mereka yang terdedah kepada kedai makan tersebut, kes-kes positif atau berada dalam lingkungan satu kilometer dari kedai tersebut.

"Tapi kalau ada mereka yang disyaki terdedah kepada kes tersebut, kita akan melaksanakan saringan.

"Apa yang kita lihat pada Kluster Sivagangga, kluster ini merebak dengan begitu cepat sekali, berbanding dengan sembilan kluster di negeri-negeri lain termasuk Sarawak," katanya pada sidang media, petang Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Kluster PUI Sivagangga dimasukkan dalam kumpulan sasar bagi jangkitan Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, kajian sedang dijalankan sama ada negara sedang menghadapi satu kluster 'super spreader'.

"Kementerian dimaklumkan (virus) super spreader dari Mesir dan Pakistan. Besar kemungkinan... ini mungkin satu kluster super spreader. Tetapi kita kena laksanakan ujian dengan teliti, kita akan kultur viru tersebut di makmal, dan melihat virus yang dijangkiti di Kluster Sivagangga," katanya.

Setakat Khamis, sebanyak enam kes positif baharu dilaporkan dalam Kluster Sivagangga, menjadikan jumlah terkini 30 kes.

Tindakan tidak bertanggungjawab seorang lelaki yang ingkar arahan kuarantin di rumah menyebabkan 7,000 penduduk di empat mukim di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) mulai 3 Ogos hingga 30 Ogos depan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain