SOP PRK Chini digunakan untuk PRK Slim dengan beberapa penambahbaikan, wajib pakai pelitup muka - Ismail Sabri

Garis panduan yang diguna pakai semasa PRK DUN Chini akan dipraktikkan semula pada PRK DUN Slim dengan beberapa penambahbaikan bagi mengekang penularan Covid-19. Foto: The Star

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, pilihan raya kedua yang diadakan di Malaysia sejak penularan wabak Covid-19, tetap akan dijalan mengikut garis panduan sesuai dengan situasi pada masa kini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, garis panduan yang diguna pakai semasa PRK DUN Chini akan dipraktikkan semula pada PRK DUN Slim dengan beberapa penambahbaikan bagi mengekang penularan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Chini catat sejarah negara, pengundi diingatkan tunai hak tapi jangan lupa jaga jarak, patuh SOP

Antara garis panduan tersebut termasuklah kempen dan ceramah yang hanya dibenar dilaksanakan di kawasan tertutup atau di kawasan berpagar.

"Ini bagi memudahkan proses pemantauan dan pemeriksaan suhu badan," katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di Bangunan Parlimen, pada Khamis.

Menurut Ismail, jumlah orang ramai juga perlu mengikut keluasan kawasan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan tidak boleh melebihi 250 individu pada satu-satu masa serta pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan.

"Bilik Gerakan Parti dan Bilik Gerakan Kecil dibenarkan dibuka sepanjang tempoh pilihan raya termasuk hari mengundi dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Bilik Gerakan ini perlu didaftarkan dengan pihak SPR terlebih dahulu untuk memudahkan proses pemantauan.

"Waktu keluar mengundi adalah digalakkan mengikut ketetapan SPR. Ini bagi mengelak berlakunya kesesakan di pusat-pusat mengundi," katanya.

Ismail menambah, SPR akan mengadakan perbincangan dengan wakil parti politik yang bertanding mengenai garis panduan pilihan raya yang memerlukan penilaian berdasarkan situasi semasa.

"Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan untuk PRK ini adalah berdasarkan Akta 342, di bawah Kementerian Kesihatan bagi mencegah penyebaran jangkitan wabak Covid-19 semasa PRK. Bagaimanapun, peraturan di bawah Akta SPR masih diguna pakai semasa PRK berjalan,"katanya.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai.

SPR menetapkan hari penamaan calon pada 15 Ogos manakala pengundian awal pada 25 Ogos dan mengundi pada 29 Ogos.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi, yang mewakili Barisan Nasional (BN), mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim yang bertanding atas tiket PKR dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PRK DUN Slim, SOP, pelitup muka

Artikel Berkaitan

Jenazah Adun Slim selamat dikebumikan

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik

Lebih sejuta korban Covid-19 di seluruh dunia