Syukur, rakyat Malaysia di Lubnan selamat... negara doa, kongsi kesedihan

Keadaan di Beirut, Lubnan susulan kejadian letupan pada Selasa. Foto AP

SYUKUR apabila semua rakyat Malaysia di Lubnan dilaporkan selamat.

Demikian kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, perkara itu disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Beirut dalam laporan awalnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Letupan kuat gegarkan kota Beirut, 78 terbunuh manakala ribuan lagi cedera

Kira-kira tengah malam Selasa waktu Malaysia, berlaku kebakaran diikuti letupan dahsyat di sebuah gudang di pelabuhan di ibu negara Lubnan, Beirut, dipercayai tempat bahan letupan disimpan.

Letupan itu mencetuskan kemusnahan di seluruh bandar dan menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang maut dan lebih 3,000 orang cedera.

Hishammuddin berkata, pihak kedutaan juga menasihati rakyat Malaysia yang tinggal di negara itu agar kekal berada di dalam rumah.

"Malaysia berkongsi kesedihan dan ingatan serta doa kami mengiringi insan-insan kuat di Lubnan. Kami bersedia untuk memberi sokongan dalam apa juga cara yang mungkin," katanya dalam ciapan terbaharu di akaun Twitternya.

Malaysia adalah sebahagian daripada Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) bagi tugas menjaga keamanan di selatan Lubnan dan dikhuatiri sebilangan anggota pasukan mungkin berada di Beirut ketika letupan itu berlaku.

Tiada laporan setakat ini sama ada terdapat kapal Malaysia atau kapal yang mempunyai kru Malaysia di pelabuhan itu semasa kejadian.

Presiden Lubnan Michel Aoun dilaporkan telah mengisytihar tempoh berkabung selama tiga hari.

Sementara itu, DAP dalam kenyataan menggesa kerajaan Malaysia agar menghulurkan bantuan kepada Lubnan pada waktu yang sukar ini. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

rakyat Malaysia, Lubnan, Beirut,

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik