suria

Tiada arahan kepada yang balik raya di Kubang Pasu... ini senarai individu perlu buat saringan Covid-19

Penduduk sekitar di sebuah daerah di Kedah menjalani ujian saringan Covid-19 berikutan terdapat kluster Sivagangga. Foto Bernama

MEDIA sosial digemparkan dengan penyebaran senarai bandar dan pekan yang berdekatan Kubang Pasu di Kedah, susulan terdapat peningkatan kes aktif Covid-19 bagi kluster PUI Sivagangga.

Menerusi mesej yang tular itu, sebanyak 16 lokasi disenarai antaranya Kepala Batas, Jitra, Tunjang, Kodiang, Changlun, Ayer Hitam, Napoh, Gunung Keriang dan Sanglang.

Mesej yang didakwa daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) itu turut memberi amaran kepada ibu bapa dan murid-murid yang bercuti hari raya di Kubang Pasu serta bandar dan pekan berdekatan, supaya membuat ujian saringan Covid-19 di klinik berhampiran.

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster PUI Sivagangga: Empat mukim di Kedah dikenakan PKPD Pentadbiran, 7,000 penduduk jalani ujian saringan

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster PUI Sivagangga: Kedah laksana TEMCO, 5 sekolah diarah tutup hingga 29 Ogos

Malah, ia turut didakwa menasihatkan supaya murid-murid berkenaan tidak hadir ke sekolah.

Susulan mesej yang tular itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menafikan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi sepertimana yang tular.

Beliau berkata, individu yang perlu menjalani saringan adalah mereka yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 dan penduduk yang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).



KKM menafikan mesej yang tular.

Tambah beliau, ia termasuk mereka yang berkait rapat dengan kedai makan yang terbabit dalam kluster PUI Sivagangga dan mereka mempunyai gejala demam atau saluran pernafasan.

"Individu-individu seperti di atas perlu segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berdekatan untuk menjalani saringan Covid-19. KKM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam menangani isu ini bagi memastikan arahan yang dikeluarkan adalah selari dan sahih.

"Pihak KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh menimbulkan keresahan dan kerisauan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, orang awam boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM di talian hotline 03-88810200,03-88810600,03-88810700 dan [email protected] sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu berita palsu mahupun isu lain berkaitan Covid-19.

Berikut adalah senarai individu yang disarankan KKM supaya melakukan ujian saringan Covid-19:

1. Mereka yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19.

2. Penduduk yang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran iaitu di:

- Radius 1 kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu)

- Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu)

- Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu)

- Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap)

3. Mereka yang berkait rapat dengan kedai makan yang terbabit dalam Kluster PUI Sivagangga, misalnya:

- Pelanggan atau orang yang singgah makan; atau

- Berurusan dengan kes indeks kluster ini atau dengan pekerja-pekerja di kedai makan tersebut dari 13 Julai 2020 sehingga 27 Julai 2020

4. Mereka yang mempunyai gejala demam atau gejala saluran pernafasan.

Jangkitan di Kedah itu berlaku angkara seorang individu yang ingkar arahan kuarantin di rumah, sekali gus menyebabkan kira-kira 7,000 penduduk meliputi empat mukim di Kedah, dikenakan TEMCO mulai 3 hingga 30 Ogos.

TEMCO dilaksanakan bagi membolehkan pasukan petugas perubatan menyaring semua penduduk terbabit daripada jangkitan Covid-19 dalam penularan pandemik dikenali sebagai Kluster Sivagangga yang setakat ini sudah menjangkiti 11 mangsa.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain