suria

Kluster PUI Sivagangga: Kedah laksana TEMCO, 5 sekolah diarah tutup hingga 29 Ogos

Sebanyak 73 buah Tabika dan Taska di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kubang Pasu ditutup bermula hari ini berikutan kluster baru PUI Sivagangga yang berlaku di daerah terbabit. Foto: Bernama

LIMA buah sekolah di Kedah diarah tutup serta merta bermula Ahad (hari ini) sehingga 29 Ogos, susulan terdapat peningkatan kes aktif Covid-19 bagi kluster PUI Sivagangga.

Menurut Jabatan Pendidikan Kedah dalam satu kenyataan pada Ahad malam, lima buah sekolah berkenaan terletak dalam daerah Kubang Pasu dan Padang Terap.

Sekolah yang terlibat adalah sekolah menengah harian berasrama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba dan SMK Megat Dewa.

ARTIKEL BERKAITAN: 14 kes baharu Covid-19, 13 daripadanya kluster PUI Sivagangga Kedah

Tiga lagi sekolah ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba, SK Megat Dewa dan SK Kubang Palas.

"Semua sekolah terbabit diarah tutup berkuat kuasa serta-merta mulai 2 Ogos sehingga 29 Ogos ini. Tarikh ini melibatkan 14 hari tempoh kuarantin dan 14 hari lagi pemerhatian.

"Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat menangani kluster PUI Sivagangga, hari ini bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan negeri juga akan melaksanakan Targeted Enhancement Movement Control Order (TEMCO) di empat mukim yang terjejas dengan Covid-19.

Katanya, mukim terbabit adalah Mukim Ah, Mukim Hosba dan Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu serta Kampong Ulu, Padang Sanai di daerah Padang Terap.

"Justeru, guru-guru yang tinggal di kawasan TEMCO tidak dibenarkan untuk hadir bertugas sama sekali.

"Guru yang tinggal di luar kawasan TEMCO tidak dibenarkan untuk ke sekolah di kawasan TEMCO, manakala guru yang tinggal dan bertugas di luar kawasan TEMCO, tetapi perlu melalui kawasan TEMCO adalah dibenarkan," katanya.

Katanya, pengecualian hanya diberi kepada perkhidmatan penting, namun tertakluk oleh perubahan yang akan diputuskan di peringkat pusat. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TEMCO, Kedah, PUI Sivagangga

Artikel Lain