Kluster PUI Sivagangga: Empat mukim di Kedah dikenakan PKPD Pentadbiran, 7,000 penduduk jalani ujian saringan

Seramai 7,000 penduduk di kawasan terlibat dengan kluster PUI Sivagangga akan menjalani ujian saringan. Gambar hiasan.

EMPAT mukim di Kedah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran bermula hari ini (Isnin) sehingga 30 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat susulan 11 kes baharu Covid-19 yang berpunca daripada kluster PUI Sivagangga.

Ismail berkata empat kawasan terbabit ialah Restoran Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh, Kampung Pida Satu di Megat Dewa, Kampung Bendang Dalam Mukim Binjal di Kubang Pasu dan Kampung Ulu Sanai di Padang Terap yang kesemuanya terletak dalam radius satu kilometer dari restoran tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kes positif Covid-19 termasuk seorang pelanggan tetap kedai nasi kandar Sivagangga

"Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan PKP hari ini meluluskan permohonan kerajaan negeri Kedah untuk melaksanakan PKPD secara pentadbiran di kawasan-kawasan tersebut.

"Pelaksanaan PKPD secara pentadbiran akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama ke kawasan sekitar," katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di bangunan Parlimen pada Isnin.

Menurut laporan media, sehingga semalam, sebanyak 313 individu daripada kluster tersebut telah disaring dengan 20 dikesan positif Covid-19 sementara 280 individu negatif, manakala bakinya masih menunggu keputusan ujian.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian saringan ke atas kira-kira 7,000 penduduk di kawasan terlibat.

Menurutnya, selain tadika, masjid serta rumah ibadat turut ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat.

"Kebebasan bergerak mungkin boleh disekat jika kes meningkat seperti yang berlaku di Kedah dan perkara sama mungkin boleh berlaku di tempat lain. Justeru itu, rakyat perlu patuh SOP dan setiap larangan agar perkara seumpama ini tidak berlaku di tempat lain," katanya. BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, Sivagangga

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ibu Chef Zam meninggal dunia akibat pneumonia