suria

Dua kampung di Kuala Sanglang dikenakan TEMCO mulai malam ini hingga 4 September

Penduduk Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul akan menjalani ujian saringan Covid-19 dalam masa terdekat berikutan penularan kes daripada kluster PUI Sivagangga. Foto: Bernama

DUA buah kampung di Kuala Sanglang, Perlis diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO).

Kampung yang terlibat iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul dikenakan perintah berkenaan selama 28 hari, berkuat kuasa pada 10 malam ini hingga 4 September depan.

Kerajaan Negeri Perlis menerusi satu kenyataan berkata pelaksanaan TEMCO dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Bermula Isnin ini, dua buah sekolah di Sanglang ditutup selama seminggu

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster PUI Sivagangga: Kedah laksana TEMCO, 5 sekolah diarah tutup hingga 29 Ogos

"Penduduk di kawasan TEMCO diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan TEMCO akan mengguna pakai prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedia ada dengan tambahan kepada pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di setiap laluan keluar masuk ke kawasan tersebut.

"Orang awam yang berada di luar kawasan TEMCO tidak dibenarkan masuk kecuali mereka yang terlibat dengan memberikan perkhidmatan perlu," katanya.

Penduduk di kedua-dua kampung juga diminta mematuhi arahan kuarantin di rumah yang telah dikeluarkan kepada penduduk setelah menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Sanglang.

"Sepanjang tempoh arahan kuarantin di rumah, ketua isi rumah dibenarkan keluar dari rumah bagi membeli barang keperluan harian sementara menunggu seluruh ahli isi rumah memperoleh arahan pelepasan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis," demikian menurut kenyataan itu lagi.

Tambahnya, kerajaan negeri prihatin kesulitan yang dialami dan akan menyalurkan bantuan kepada penduduk di kedua-dua kampung yang terlibat. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, TEMCO, Perlis, Kuala Sanglang

Artikel Lain