suria

Mungkin lebih banyak sekolah di Kuala Sanglang akan ditutup susulan pelaksanaan TEMCO

Anggota polis dari IPD Kangar melakukan Sekatan Jalan Raya (SJR) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) di Daerah Sanglang. Foto: Bernama

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) yang dikuatkuasakan di Kuala Sanglang, Perlis sejak malam Sabtu bakal menyaksikan kemungkinan lebih banyak sekolah di daerah tersebut dan kawasan berdekatan akan ditutup.

Terdahulu pada Sabtu, dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang ditutup selama tujuh hari mulai Isnin (10 Ogos) susulan penularan wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kampung di Kuala Sanglang dikenakan TEMCO mulai malam ini hingga 4 September

"Berkemungkinan lebih banyak lagi sekolah yang terlibat (dalam kawasan Covid-19) akan ditutup," kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri Perlis, Rozieana Ahmad.

Rozieana yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pauh berkata beliau tidak menolak kemungkinan penutupan dua sekolah itu akan berlarutan selama dua minggu.

Katanya tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dibuat berdasarkan arahan yang diterima daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihataan Malaysia (KKM) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Pada Sabtu malam, Perlis melaksanakan TEMCO selama 28 hari di dua buah kampung iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

Sehingga Sabtu, negeri berkenaan mencatat 30 kes dengan 11 kes baharu daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivangga. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

sekolah, TEMCO, Kuala Sanglang

Artikel Lain