suria

Covid-19: Bermula Isnin ini, dua buah sekolah di Sanglang ditutup selama seminggu

Seramai 872 penduduk di dua buah kampung iaitu kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul akan menjalani ujian saringan Covid-19 dalam masa terdekat. Foto: Bernama

PENULARAN wabak Covid-19 di Kedah yang tercetus gara-gara kluster PUI Sivagangga menyaksikan dua buah sekolah dalam daerah Sanglang, Perlis ditutup selama seminggu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri Rozieana Ahmad berkata sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang.

Kedua-dua buah sekolah berkenaan akan ditutup bermula Isnin depan (10 Ogos).

"Penutupan dua sekolah berkenaan dibuat sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 berikutan dua daripada 10 ahli keluarga dalam kawasan ini disahkan positif semalam," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, sesi pembelajaran akan dilakukan secara dalam talian agar murid tidak ketinggalan.

Katanya, walaupun Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hun di daerah itu tidak ditutup, ibu bapa yang risau dengan keselamatan anak mereka boleh membuat pilihan untuk tidak menghantar ke sekolah.

Pada Jumaat, media melaporkan 10 ahli keluarga terdekat yang tinggal bersama disahkan positif Covid-19 di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar pekan Kuala Sanglang hari ini mendapati aktiviti harian di kawasan itu terhenti apabila orang ramai mengambil keputusan untuk tidak keluar rumah dan kebanyakan premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai runcit juga ditutup.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bergantung kepada keputusan saringan kesihatan yang dilakukan pada Sabtu.

"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis telah mengadakan saringan kesihatan terhadap 872 penduduk di dua kampung berkenaan," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai yang menjalani saringan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelak penularan wabak ke tempat lain. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Sivagangga, Sanglang, sekolah

Artikel Lain