PM seru orang ramai anggap diri sebagai frontliners, sentiasa amal norma baharu dalam perangi Covid-19

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

JIKA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula, ia pasti mengganggu usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.

Sejajar dengan hasrat untuk memerangi Covid-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru orang ramai agar terus mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan.

Tambah Muhyiddin, masyarakat perlu menganggap diri sendiri sebagai "petugas barisan hadapan" dan terus mengamalkan norma baharu dalam usaha membantu kerajaan memerangi penularan wabak itu.

"Masyarakat perlu menganggap diri sendiri sebagai "petugas barisan hadapan" dan terus mengamalkan norma baharu dalam usaha membantu kerajaan memerangi penularan wabak itu.

“Justeru, kesedaran kawalan kendiri yang tinggi baik di tempat kerja, tempat-tempat awam, tempat ibadat mahupun di rumah perlu ada dalam diri ahli masyarakat pada setiap masa.

"Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam memutuskan rantaian Covid-19, saya menyeru anda semua terus mempraktikkan amalan kebiasaan baharu dengan mematuhi garis panduan seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, Johor.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh.

Perdana Menteri berkata beliau pasti bahawa masyarakat tidak mahu kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh sebagaimana yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Tambahan pula, kerajaan telah memperuntukkan RM295 billion untuk memulihkan ekonomi selepas terkesan akibat Covid-19 dengan sebahagian daripada wang itu sudahpun diagihkan diberi kepada pihak-pihak yang memerlukan, ” katanya.

“Kalau kita kembali semula dan terpaksa mengenakan PKP semula seperti asal maka ekonomi kita pastinya menghadapi kesan yang amat buruk dan kesannya itu akan dapat sama-sama dirasakan oleh rakyat, ” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat tidak boleh alpa dan perlu terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Bersempena pelancaran berkenaan, Muhyiddin turut memperkenalkan logo dan slogan kempen “Bersama Hentikan Wabak Covid-19” serta menyampaikan hadiah kepada pemenang iaitu Mohd Nor Fakihin Aqsa Mohd Nor Azam.

Mohd Nor Fakihin Aqsa memenangi Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline kempen itu yang dianjurkan KKM bermula 1 hingga 10 Julai lepas.

Selain itu, Perdana Menteri turut melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti yang diterbitkan KKM yang mengandungi 26 muka surat.

Buku itu antara lain menekankan mengenai strategi kerajaan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), komuniti sebagai barisan hadapan, serta tindakan keluarga, institusi pendidikan, masjid dan lain-lain dalam bersama-sama mengekang penularan Covid-19.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ibu Chef Zam meninggal dunia akibat pneumonia