suria

Malaysia diiktiraf dunia, pelaksanaan PKP satu ‘keputusan besar dan berani’ hingga berjaya landaikan lengkung jangkitan - Ismail Sabri

Pelaksanaan PKP telah berjaya melandaikan lengkung jangkitan wabak Covid-19.

SEBAGAIMANA diketahui umum, Malaysia merupakan antara negara yang cemerlang dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Malah, langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada 18 Mac lalu ternyata dapat mengekang penularan wabak berkenaan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memperkenalkan PKP disifatkan sebagai ‘keputusan besar dan berani’.

ARTIKEL BERKAITAN: PM seru orang ramai anggap diri sebagai frontliners, sentiasa amal norma baharu dalam perangi Covid-19

Jelasnya, pada waktu itu kebanyakan negara di serata dunia masih teragak-agak memberikan respon dan tindakan berbeza-beza dalam menangani penularan Covid-19, yang merupakan satu krisis global dan disifatkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu berkata, selain PKP, keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan, yang dilakukan bertujuan mengekang penularan wabak dalam komuniti, telah berjaya melandaikan lengkung jangkitan wabak Covid-19.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, usaha paling kukuh telah diambil untuk menangani penularan Covid-19, iaitu dengan melaksanakan PKP dan keputusan itu telah berjaya melandaikan lengkung jangkitan wabak Covid-19.

“Malaysia diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam mengawal pandemik Covid-19, malah telah menjadi salah satu negara contoh, iaitu penerimaan rakyat terhadap tindakan kerajaan dalam mengekang wabak berkenaan, yang mendapat pengiktirafan dunia dalam satu tinjauan global, ” katanya pada majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Pagoh, Muar, Johor, pada Sabtu.

Pelancaran yang disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sukan Pagoh turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.



Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh.

Beliau bagaimanapun berkata, sikap masyarakat yang alpa patuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pensanitasi, terutama di kawasan awam yang sesak, telah meningkatkan risiko penularan dan mengundang gelombang baharu jangkitan, sehingga kes harian jangkitan Covid-19 yang sebelum ini turun kepada satu angka, kini meningkat semula kepada angka dua digit, dengan kemunculan kluster baharu.

Sehubungan itu Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Kempen Pembudayaan Norma Baharu, bagi meningkatkan kesedaran dan memperkasa rakyat melindungi diri, keluarga dan komuniti, dalam usaha membantu petugas barisan hadapan, memerangi jangkitan Covid-19.

Beliau berkata program-program di bawah Kempen Pembudayaan Norma Baharu ini, akan dilaksanakan oleh semua Kementerian di peringkat persekutuan dan juga kerajaan-kerajaan negeri.

Ismail Sabri berkata, kempen itu juga akan membabitkan penglibatan semua lapisan kepimpinan termasuk penghulu, ketua kampung, temenggong, pemancha, kapitan, tuai rumah serta imam dan ahli jawatankuasa masjid, tok batin dan ketua-ketua agama dari bandar raya besar, bandar-bandar kecil sehingga kampung di desa.

“Kempen ini menyasarkan penyebaran maklumat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada segenap lapisan masyarakat, akan turut membabitkan penggunaan pelbagai platform seperti media massa, media sosial, papan iklan, jerayawara, program keagamaan, penerbitan poster dan gegantung, yang akan terus digiatkan sehingga 31 Disember ini.

“Oleh itu, pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat harus bersama-sama meningkatkan kawalan kendiri, bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti, daripada jangkitan virus Covid-19 dan memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak ini, ” katanya.

Pada majlis hari ini, Perdana Menteri telah melancarkan kempen tersebut, serta melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti yang diterbitkan KKM.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain