suria

Kluster Sivagangga: Jemaah kontak rapat pesakit Covid-19... Surau Al-Jannah, Shah Alam diarah tutup serta-merta

Dalam kalangan jemaah Surau Al-Jannah di Shah Alam mempunyai kontak rapat, dengan individu positif Covid-19 berkaitan Kluster Sivagangga. Gambar hiasan

KLUSTER Pesakit Bawah Siastatan (PUI) Sivagangga di Kedah hangat diperkatakan berikutan kes jangkitan Covid-19 kini merebak ke Pulau Pinang dan Perlis.

Terbaharu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai langkah pencegahan telah mengarahkan Surau Al-Jannah di Seksyen 23 di Shah Alam, Selangor ditutup serta-merta susulan ada dalam kalangan jemaahnya mempunyai kontak rapat, dengan individu positif Covid-19 berkaitan Kluster Sivagangga.

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, turut diarahkan tutup adalah Sekolah Kafa Al-Jannah, berdekatan surau berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: 25 kes baharu Covid-19, jangkitan nasi kandar di Kedah kini merebak ke Perlis, Pulau Pinang

ARTIKEL BERKAITAN: Jangkitan kedai nasi kandar merebak lebih pantas banding 9 kluster lain - Dr Noor Hisham

Beliau berkata, buat masa ini, surau tersebut tidak dibenarkan menganjurkan solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti keagamaan lain sebagai langkah pencegahan, bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 kepada penduduk setempat.

“Hanya tiga petugas jawatankuasa sahaja dibenarkan untuk memimpin solat fardu di surau berkenaan. Jawatankuasa surau hendaklah memastikan individu terlibat menjalani ujian saringan Covid-19 dan melaporkan keputusannya kepada Jais.

“Proses sanitasi juga hendaklah dilakukan serta merta di seluruh kawasan surau dan sekolah Kafa tersebut, ” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Justeru kata Mohd Shahzihan, jawatankuasa surau diarah memantau rapat isu berkenaan, serta mengingatkan jemaah supaya meningkatkan langkah pencegahan wabak Covie-19, seperti disarankan JAIS.

Katanya, Surau Al-Jannah hanya boleh beroperasi semula selepas dibenarkan oleh pihaknya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat setempat supaya tidak panik, kerana penutupan surau tersebut adalah langkah biasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan menyarankan orang ramai sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard ditetapkan.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai notis penutupan surau berkenaan dan mendapat pelbagai reaksi daripada penduduk setempat. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain