suria

25 kes baharu Covid-19, jangkitan nasi kandar di Kedah kini merebak ke Perlis, Pulau Pinang

Seorang pesakit Covid-19 dirawat di hospital. Gambar hiasan/Foto Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 25 kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,063 kes setakat Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 210 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada 25 kes baharu yang dilaporkan, sembilan kes adalah jangkitan di luar negara yang melibatkan lapan warganegara Malaysia dan satu warga asing.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 16 kes penularan di dalam negara, 15 kes dalam kalangan warganegara dan satu bukan warganegara.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 15 kes yang telah pulih Covid-19 pada Jumaat dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,728 kes.

"Sehingga kini, terdapat dua kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Mengenai Kluster PUI Sivagangga di Kedah, Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 13 kes baharu positif Covid-19 pada Jumaat, menjadikan jumlah terkini sebanyak 43 kes.

"Daripada jumlah positif kluster PUI Sivagangga, 31 kes di Kedah, 11 kes dari Perlis dan satu dari Pulau Pinang," katanya.

Beliau menambah, satu daripada 11 kes di Perlis adalah kes ke-9002 yang dilaporkan di negeri itu pada 4 Ogos.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berikut

Artikel Lain