suria

97 peratus warga asing huni 2 premis PKDP ke-4 perlu bayar sendiri makanan - Ismail Sabri

Dua bangunan di Masjid India, KL diletakkan di bawah PKPD berkuatkuasa Selasa.

KERAJAAN pada Selasa telah mengumumkan lokasi keempat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, di ibu negara.

Namun, timbul pula isu melibatkan sumbangan makanan bagi penghuni dua bangunan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua bangunan di Masjid India, KL diletakkan di bawah PKPD berkuatkuasa hari ini

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, majoriti penghuni merupakan warga asing dan mereka berada di bawah tanggungjawab kedutaan masing-masing.

"Ramai yang tanya dan jadikan isu mengenai sumbangan makanan. Untuk makluman, 97 peratus daripada penghuni premis itu merupakan warga asing.

"Saya dah umumkan secara jelas beberapa hari lalu bahawa warga asing di negara kita di bawah tanggungjawab kedutaan masing-masing.

"Jadi melibatkan PKPD di dua kawasan ini, ia melibatkan hampir keseluruhan warga asing. Kita dah maklumkan pada pejabat kedutaan mereka untuk bantu," ujarnya.

97 peratus daripada penghuni premis itu merupakan warga asing.

Tambah Ismail lagi, penghuni-penghuni turut diberi alternatif untuk membeli makanan melalui bantuan oleh pusat operasi yang diwujudkan di situ.

"Bagaimanapun, kita bagi alternatif untuk mereka yang tinggal di dua bangunan ini melalui pusat operasi yang diwujudkan.

"Untuk pembelian makanan, mereka boleh hubungi pusat operasi dalam bangunan, kemudian barangan mereka akan diletak pada satu tempat khusus untuk diambil tetapi mereka perlu membayarnya sendiri," ujarnya lagi.

Untuk rekod, PKPD di dua bangunan itu melibatkan 365 unit kediaman dan premis perniagaan dengan 5,000 hingga 6,000 penghuni.

Perintah tersebut akan berkuatkuasa mulai 7 April 2020 sehingga pengesanan kes dari unit ke unit selesai dilakukan.

Artikel Lain