suria

Catat kes positif Covid-19 melebihi 41 kes, Sepang dan Kota Samarahan jadi dua kawasan baharu zon merah

Dua daerah iaitu Sepang, Selangor dan Kota Samarahan, Sarawak kini dikategorikan sebagai zon merah Covid-19.

SEPANG dan Kota Samarahan menjadi dua kawasan baharu yang dikategorikan sebagai zon merah Covid-19, demikian menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Dengan pertambahan dua kawasan itu, ini menjadikan jumlah keseluruhan kawasan zon merah meningkat kepada 23 lokasi setakat ini.

Berdasarkan statistik yang dimuat naik di Twitter KKM pada Rabu, daerah Sepang, Selangor mencatatkan 46 kes manakala Kota Samarahan, Sarawak, dengan 42 kes setakat 12 tengah hari Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: SOP zon merah Covid-19 dikenakan perintah lockdown diteliti, Lembah Pantai antara lokasi catat kes tertinggi

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: Zon merah di Selangor mungkin terima nasib sama seperti Simpang Renggam

Daerah lain yang turut dikategorikan sebagai zon merah adalah Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa (Kuala Lumpur); Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang (Selangor); Batu Pahat, Johor Bahru dan Kluang (Johor) serta Seremban dan Rembau (Negeri Sembilan).

Wilayah Persekutuan Putrajaya; Hilir Perak dan Kinta (Perak); Jasin (Melaka), Kota Bharu (Kelantan);  Jerantut (Pahang); Tawau (Sabah); dan Kuching (Sarawak).

Sementara itu, Lembah Pantai mencatatkan kawasan tertinggi positif Covid-19 iaitu sebanyak 412 kes, manakala Hulu Langat dan Petaling masing-masing mencatat 345 dan 306 kes positif Covid-19.

Zon merah dikategorikan bagi jumlah melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes.

Setakat ini, Selangor masih mencatat bilangan kes paling tinggi positif Covid-19 iaitu sebanyak 1,020 kes, manakala Perlis kekal merekodkan kes terendah (17).

Dalam pada itu, Malaysia mencatatkan penurunan kedudukan dalam senarai negara dijangkiti pandemik Covid-19 di dunia, apabila negara menghuni tangga ke-30 pada Selasa dengan 3,963 kes positif dan 63 kematian. - BERNAMA

Kota Samarahan, Sepang, zon merah

Artikel Lain