suria

PKPD: Zon merah di Selangor mungkin terima nasib sama seperti Simpang Renggam

Selangor mencatatkan kes tertinggi Covid-19.

PENDUDUK di beberapa kawasan di Selangor yang dikategori sebagai zon merah (kawasan taburan bilangan jangkitan tinggi) wabak Covid-19 akan dipertimbangkan untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti di Simpang Renggam, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, Selangor mencatatkan jumlah kes Covid-19 paling tinggi di negara ini.

"Sekarang kita lihat taburan jangkitan paling tinggi di Selangor. 

"Dalam pada itu kita lihat zon mana tertinggi sekali, jadi kita dah kenal pasti satu atau dua zon di Selangor yang mungkin akan diambil tindakan seperti di Simpang Renggam," katanya.

Setakat Ahad, empat kawasan di Selangor diletakkan dalam zon merah iaitu Petaling dengan 209 kes, Hulu Langat 205 kes, Gombak 57 kes dan Klang 51 kes.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD mulai tengah malam selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19.

Perintah PKPD membabitkan 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga di dua kampung berkenaan.

Kira-kira 70 peratus penduduk terjejas terdiri dari pekebun sawit dan nanas yang mengelilingi dua penempatan berkenaan, manakala 20 peratus lagi adalah pekerja di kawasan perindustrian Simpang Renggam, manakala 10 peratus lagi sama ada bekerja sendiri, berniaga atau penjawat awam.

Menerusi PKPD itu, pelaksanaan pemantauan dari rumah ke rumah dilaksanakan dengan lebih tegas terhadap dua kawasan terjejas dengan pengawasan ketat anggota pasukan keselamatan.

Sementara itu Dr Noor Hisham turut mendedahkan sebanyak 97 kes baharu positif Covid-19 di daerah Kluang tetapi tiada kematian direkodkan pada Ahad.

"Kes di Bandar Baru Ibrahim Majid merekodkan 81 kes di mana melibatkan kluster Seri Petaling dan 77 orang lain generasi kedua dan ketiga iaitu mungkin bukan kluster tapi dijangkiti, mereka pergi masjid dan dijangkiti.

"Kes luar dari Bandar Baru Ibrahim Majid adalah 16 kes dengan melibatkan satu kluster Seri Petaling dan juga 15 yang lain-lain," katanya.

Tambahnya lagi, buat masa ini proses nyah cemar dan pemeriksaan dari rumah ke rumah sedang giat dijalankan di dua kawasan terbabit.

Artikel Lain