suria

Doktor, anak usia 8 bulan maut kemalangan ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang

Pegawai Perubatan iaitu Dr Nooranisah Mohd Razali telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak beliau meninggal dunia di Hospital Gua Musang.

SEBUAH kenderaan Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, Kelantan terlibat dalam satu kemalangan di Gua Musang awal pagi Ahad sehingga mengorbankan seorang pegawai perubatan dan anaknya yang berusia lapan bulan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kenderaan itu dalam perjalanan menghantar pasukan lawatan pakar pembedahan ke Hospital Gua Musang.

"Selain daripada pemandu kenderaan, penumpang adalah terdiri daripada seorang Pakar Pembedahan, tiga orang Pegawai Perubatan Jabatan Pembedahan, dan dua orang Pegawai Perubatan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi serta anak kepada salah seorang Pegawai Perubatan tersebut yang berusia lapan bulan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

"Salah seorang Pegawai Perubatan iaitu Dr Nooranisah Mohd Razali telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak beliau meninggal dunia di Hospital Gua Musang. Pemandu dan penumpang-penumpang yang lain adalah selamat," ujar Dr Noor Hisham di Facebook pada Ahad petang.

Ujarnya, punca kemalangan masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa.

Dr Noor Hisham turut berkongsi foto kenderaan yang tersadai di dalam kawasan semak dengan keadaan remuk dan pecah cermin hadapan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan takziah kepada suami dan keluarga Allahyarhamah Dr Nooranisah.

"Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman," tulis Dr Noor Hisham lagi.

kemalangan, HSIP, Gua Musang

Artikel Lain