suria

Selepas tular terima BPN, MP Pasir Gudang mengaku tak buat permohonan - “Segera tamatkan bayaran kepada golongan tak layak”

Hassan nafi terima bantuan bernilai RM1,600 seperti yang tular di media sosial.

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menafikan dakwaan di media sosial kononnya dia menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Ujarnya, dia sama sekali tidak pernah membuat permohonan dan enggan melihat mereka yang tidak layak menerima bantuan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum Pakej Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion, ini bantuan wang tunai yang bakal diterima rakyat

"Saya selaku ahli parlimen dimaklumkan telah lulus permohonan BPN dan diviral di media sosial. Saya ingin menyatakan di sini bahawa saya tidak membuat permohonan BPN itu.

"Jadi saya harap kerajaan segera selamatkan wang negara berbilion ringgit dengan segera tamatkan pembayaran kepada golongan yang tak layak dibantu," ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Hassan menyeru agar pihak kerajaan memperbaiki sistem pembayaraan BPN.

Antara posting yang tular di media sosial.

"Saya seru kerajaan pusat yang ditadbir oleh Perikatan Nasional supaya bekerjasama dengan kami ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan untuk sama-sama membantu rakyat.

"Membantu negara, memulihkan kehidupan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan telus, adil, tidak tiris, tidak membazir," ujarnya.

Terdahulu, tular paparan skrin di media sosial yang mendakwa dia menerima bantuan berkenaan yang bernilai RM1,600.

Paparan skrin yang dikongsi itu merupakan semakan berdasarkan nombor kad pengenalan menerusi laman web http://www.hasil.gov.my.

"Bukan ke setiap Ahli Parlimen ada elaun khas? Rasanya YB dah terlebih mampu untuk mengurus kehidupan sekeluarga berbanding rakyat marhain kawasan YB di Pasir Gudang yang kini hidup umpama kais pagi makan pagi kais petang makan petang," tulis sebuah halaman Facebook.

Artikel Lain