suria

Dua bangunan di Masjid India, KL diletakkan di bawah PKPD berkuatkuasa hari ini

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal pergerakan masuk dan keluar di Flat Selangor Mansion dan Flat Malayan berikutan penemuan kes Covid-19 di bangunan tersebut. -fotoBERNAMA

DUA bangunan di Kuala Lumpur menjadi lokasi keempat diletakkan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa pada 7 April.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan bangunan Selangor Mansion dan bangunan Malayan Mansion, kedua-duanya di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 15 kes positif jangkitan Covid-19 di kedua-dua bangunan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Menara City One lokasi ke-3 PKPD, libatkan 502 unit kondo dan premis perniagaan

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula tengah malam ini, arahan PKPD berkuatkuasa di Hulu Langat libatkan hampir 4,000 penduduk

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: 3,570 penduduk Kluang diarah ‘berkurung’ 14 hari, JKM bekalkan makanan asas

"Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan keempat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"PKPD ini melibatkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan di bangunan itu," katanya pada sidang media, petang Selasa.

Para petugas Kementerian Kesihatan kelihatan keluar dari Flat Selangor Mansion selepas menjalankan pemeriksaan serta ujian saringan Covid-19 setiap penghuni Flat Selangor Mansion. Foto Bernama

Ismail Sabri berkata, perintah tersebut akan berkuatkuasa mulai 7 April 2020 sehingga pengesanan kes dari unit ke unit selesai dilakukan.

Beliau menambah, tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar.

"Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuatkuasa," katanya.

Sebelum ini, terdapat tiga lokasi PKPD dikuatkuasakan berikutan kes positif Covid-19 yang tinggi iaitu Simpang Renggam di Kluang, Johor; Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor dan Menara City One di Jalan Munshi Abdullah di Kuala Lumpur.

Dengan pelaksanaan perintah ini:

1. Semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

2. Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

3. Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan (essentials) di bangunan tersebut.

4. Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar dan diambil di tempat yang ditetapkan.

5. Pangkalan Perubatan (Medical Base) dibuka di kawasan PKPD.

6. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

7. Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP DBKL 03-4026 7222 atau 016-2962982.

Artikel Lain