suria

Koronavirus pada binatang 99.98 peratus bukan Covid-19 - Veterinar

SEJAK Isnin, timbul isu haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing boleh dijangkiti pandemik Covid-19 yang kini menyerang manusia seluruh dunia.

Ia berikutan laporan seekor harimau di New York yang dikatakan menunjukkan simptom akibat jangkitan Covid-19.

Laporan tersebut seterusnya menimbulkan panik kepada pencinta haiwan termasuk di Malaysia yang rata-ratanya membuat pelbagai persepsi, malahan ada yang salah anggap berkaitan wabak ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Elak jangkitan Covid-19, basuh tangan selepas sentuh haiwan peliharaan - Dr Noor Hisham

Pakar veterinar, Dr Ahmad Razeen Zulkifti,34, meluahkan rasa bimbang terhadap isu ini yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan penduduk negara.

Menurut beliau, haiwan peliharaan seperti kucing memang mempunyai risiko koronavirus dan ianya bukan penyakit baharu.

Dr Razeen berkongsi mengenai Coronavirus yang dihidapi kucing.

“Koronavirus pada kucing sudah lama wujud yang dikenali sebagai Alpha Coronavirus dan ianya tidak berjangkit kepada manusia, malah ia tidak pernah berjangkit kepada manusia.

“Untuk haiwan, kajian telah dijalankan beberapa tahun lalu dan ianya adalah Alpha Coronavirus. Keputusannya 99.98 peratus bukan Covid-19 kerana virus untuk manusia dikenali sebagai Beta Coronavirus.

“Sebenarnya Covid-19 ini melumpuhkan sistem pernafaskan manusia dan ia lebih kurang sama sahaja dengan wabak SARS yang berlaku di Hong Kong sebelum ini,” ujarnya kepada mStar.

Kajian

Menurut Dr Razeen, makmal kajian Idexx (pusat kajian veterinar) dunia telah melakukan ribuan kajian terhadap haiwan, namun tidak ada keputusan yang menjurus kepada jangkitan Covid-19.

Jangan jadikan maklumat tidak sahih untuk abaikan haiwan peliharaan. Alpha Coronavirus pada kucing tidak berjangkit kepada manusia.

DR AHMAD RAZEEN ZULKIFLI

Pemilik Klinik Veterinar Muezza

“Haiwan boleh dijangkiti Covid-19 daripada manusia. Punca virus corona adalah hasil mutasi virus corona yang mungkin berasal dari haiwan liar yang dijadikan makanan.

“Dan kalau ada anjing atau kucing yang dijangkiti wabak ini ia adalah berpunca daripada manusia sahaja,” jelasnya.

Beliau yang menguruskan sebuah klinik veterinar di Jalan Gombak, Setapak berkata, orang ramai jangan panik dan mengabaikan haiwan peliharaan mereka.

“Selama 20 hari kucing atau anjing menjadi peneman setia di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Orang ramai diminta supaya jangan abaikan haiwan peliharaan gara-gara maklumat tidak tepat.

"Jangan kerana maklumat tidak tepat, ada pihak yang abaikan haiwan peliharaan mereka. Tentu sekali haiwan peliharaan akan menjadi mangsa kerana mereka tidak boleh bersuara.

“Kami di peringkat pengamal veterinar sendiri terus membuat perbincangan mengenai virus ini kepada anjing dan kucing. Setakat ini memang tidak ada kes Covid-19 yang dijangkiti kucing atau anjing,” ujarnya.

Dr Razeen juga turut memberi peringatan kepada pemilik haiwan supaya bertenang dan jangan mudah tertipu dengan maklumat yang tidak sahih.

"Jangan bawa haiwan peliharaan ke klinik veterinar kerana sehingga kini masih belum ada test kit untuk haiwan. Saya sudah cuba bertanyakan kepada semua pengedar dari Korea Selatan, Amerika Syarikat...malangnya belum ada lagi untuk menguji Covid-19 terhadap haiwan-haiwan peliharaan ini.

"Pemilik boleh menghubungi doktor-doktor vet sendiri untuk mengetahui cara penjagaan dan pencegahan terbaik," tambahnya.

Artikel Lain