suria

PKPD: 3,570 penduduk Kluang diarah ‘berkurung’ 14 hari, JKM bekalkan makanan asas

Kerajaan kini melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sehingga 14 April ini bagi membendung penularan Covid-19. Foto: Bernama

KERAJAAN memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Menurut kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis, tindakan itu susulan jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi di dua kawasan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Penguatkuasaan PKP lebih tegas...“Sebenarnya ini kemahuan rakyat” - Ismail Sabri

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 83 kes positif jangkitan Covid-19 di daerah Kluang, Johor.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 61 kes adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor," katanya.

Susulan itu, PKPD itu akan berkuat kuasa bermula tengah malam Khamis (27 Mac) sehingga 9 April, dan ia melibatkan 3,570 penduduk tempatan daripada 650 keluarga.

Menurut Ismail lagi, tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

"Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari," ujarnya.

Berikutan pelaksanaan perintah ini, tujuh arahan yang perlu dipatuhi adalah:

1. Semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

2. Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

3. Semua aktiviti perniagaan dihentikan.

4. Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

5. Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.

6. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

7. Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 atau 07-7722434.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan PKP dikuat kuasakan dari 18 Mac hingga 31 Mac.

Bagaimanapun, ia dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 14 April.


PKPD, Kluang, Johor, Covid-19

Artikel Lain