suria

Bayi berusia 12 hari pesakit termuda Covid-19 di Malaysia - KP Kesihatan

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan bayi berusia 12 hari merupakan mangsa termuda di negara dijangkiti Covid-19.

BAYI berusia 12 hari merupakan kes termuda yang disahkan positif Covid-19 di negara ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Khabar duka.... patut ujian darah untuk kemoterapi, kanak-kanak 2 tahun positif Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: Angka kematian Covid-19 meningkat kepada 23, kes baharu 235

Bagaimanapun menurut Dr Noor Hisham, maklumat mengenai mangsa termuda itu akan dimaklumkan kelak.

"Pesakit paling muda kalau gelombang pertama berusia empat tahun, tapi kita ada umur yang lebih muda daripada itu iaitu 12 hari," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh pemberita mengenai butiran pesakit paling muda yang dijangkiti Covid-19 setakat ini di Malaysia.

Sementara itu menurut Dr Noor Hisham, pesakit paling tua yang direkodkan mendapat jangkitan wabak tersebut pula merupakan pesakit berusia 83 tahun.

"Kalau kita lihat kes Covid-19, umur yang paling tua adalah 83 tahun. Mereka ini 85 atau 95 peratus boleh pulih jika imuniti tinggi.

"Kalau kita lihat gelombang pertama dari kes pertama hingga kes 22, semua kita telah discaj daripada wad.

"Ada pesakit kalau ada imuniti tinggi, mereka cepat sembuh dibanding dengan mereka kurang imuniti. Strategi kita adalah untuk melindungi mereka yang sudah berumur sebab imuniti mereka mungkin kurang sedikit.

"Contohnya disebabkan rawatan kemoterapi atau penyakit lain, golongan ini harus dilindungi dan dipastikan jangan keluar rumah kerana kita harap dapat putuskan rantaian antara individu kepada individu yang lain," katanya lagi.

Terdahulu dalam sidang media yang sama, beliau mengumumkan angka kematian akibat Covid-19 di Malaysia sehingga kini berjumlah 23 orang.

Sementara itu, sebanyak 45 kes positif Covid-19 pula sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 32 daripada jumlah tersebut memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas mengenai pertambahan angka kematian dan pesakit yang mendapat rawatan di ICU, Dr Noor Hisham berkata ia didorong oleh tiga faktor utama.

"Pesakit yang meninggal dunia ada tiga faktor risiko yang tinggi. Pertama faktor umur lanjut, contohnya 70 tahun ke atas.

"Keduanya, pesakit mempunyai penyakit lain contohnya darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya.

"Ketiganya, mereka datang peringkat yang lewat... peringkat keempat dan kelima di mana ada kesesakan pernafasan. Pesakit di tahap ini kita kena beri bantuan pernafasan, ini risiko tinggi," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan terkini, sebanyak 235 kes baharu Covid-19 direkodkan setakat pukul 12 tengah hari Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan 2,031 kes.  

bayi, termuda, Malaysia, Covid-19

Artikel Lain