suria

Penganggur ingkar PKP, tampar pengawal keselamatan pasar raya kena penjara 9 bulan

PADAH menampar pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Melaka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang penganggur dikenakan hukuman penjara sembila bulan.

Tertuduh, Mohamad Shaiful Bahari Mohamad, 34 mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengingkari PKP dan menampar pengawal keselamatan pada Rabu.

Pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh pada Khamis.

Berdasarkan kertas pertuduhan itu, tertuduh melanggar PKP apabila cuba menghina pegawal keselamatan dan menamparnya ketika dihalang memasuki premis pasar raya itu untuk membeli sebotol air pada pukul 7.05 malam.

Sepanjang tempoh PKP, pasar raya di Melaka hanya dibenarkan beroperasi antara pukul 7 pagi hingga 7 malam.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di Pasaraya Tesco, Jalan Panglima pada 7.05 malam.

Lelaki itu didakwa mengikut Peraturan 3(1), Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit yang boleh membawa hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kesakitan yang membawa kepada hukuman sehingga setahun penjara, denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Mohamad Izwan ketika membacakan hukuman berkata, tertuduh telah melanggar perintah yang dilaksanakan untuk kepentingan negara ketika penularan wabak Covid-19.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam telah dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman.

penganggur, Melaka, Tesco, PKP, Covid-19

Artikel Lain