suria

Umat Islam disaran solat hajat serentak seluruh negara esok... mohon kesejahteraan hadapi situasi terkini

Umat Islam disaran untuk melaksanakan solat hajat pada Jumaat bagi memohon kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi terkini.

UMAT Islam di Malaysia dianjurkan untuk melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara selepas solat Zohor di rumah masing-masing pada Jumaat.

Solat hajat berkenaan dianjurkan untuk dilaksanakan bagi memohon kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi terkini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis telah menitahkan kepada beliau agar memberikan cadangan untuk melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Mufti Wilayah saran umat Islam buat solat hajat

"Berdasarkan taakulan saya, dengan ilham daripadanya, tarikh dan waktu yang sesuai bagi cadangan pelaksanaan solat hajat serentak di seluruh negara adalah pada hari Jumaat, 27 Mac bersamaan 3 Syaaban 1441H selepas solat Zohor di rumah dan tempat masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zulkifli dalam masa yang sama menyeru umat Islam untuk memenuhi hari Jumaat dengan zikrullah, taubat dan munajat kepadanya.

"Kepada Allah jua kita berserah," katanya.

Malaysia kini sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April sebagai usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19. - BERNAMA

solat hajat, Jumaat, serentak, umat Islam

Artikel Lain