suria

Angka kematian Covid-19 meningkat kepada 23, kes baharu 235

Petugas menjalankan saringan kesihatan terhadap orang awam. Gambar hiasan/Foto Bernama

ANGKA kematian akibat Covid-19 di Malaysia terus meningkat, dengan jumlah terkini 23 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-22 merupakan kes ke-1,797, iaitu lelaki warga Malaysia berumur 48 tahun. 

Beliau memberitahu, pesakit menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan mempunyai kontak rapat dengan kes positif, serta mempunyai latar belakang penyakit kronik.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi jemaah tabligh meninggal dunia, catat korban ke-21 akibat Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta perhimpunan tabligh meninggal dunia, angka korban Covid-19 kini 20 orang

"Pesakit dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor, dan disahkan meninggal dunia pada pukul 8.15 malam 23 Mac.

"Kes kematian ke-23 merupakan kes ke-1,840, lelaki warga Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik. 

"Pesakit telah dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak mulai 23 Mac dan disahkan meninggal dunia pada pukul 12.37 tengah hari 25 Mac," katanya pada sidang media, Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-23 masih dalam siasatan sekiranya mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster Covid-19.

Mengenai perkembangan terkini, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 235 kes baharu Covid-19 direkodkan setakat pukul 12 tengah hari Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan 2,031 kes.

"Daripada jumlah itu, 60 kes baharu itu daripada kluster perhimpunan di Seri Petaling, bakinya 175 dalam siasatan," katanya.

Beliau menambah, terdapat 16 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh sebanyak 215 kes.

Sementara itu, sebanyak 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). 

"Daripada jumlah tersebut, 32 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," ujar Dr Noor Hisham.

tabligh, Covid-19, kematian, kumulatif

Artikel Lain