suria

Lagi jemaah tabligh meninggal dunia, catat korban ke-21 akibat Covid-19

Petugas kesihatan yang mengendalikan kes Covid-19. Gambar hiasan/Foto Bernama

SATU lagi kematian akibat Covid-19 dicatatkan pada pagi Khamis, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia seramai 21 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit merupakan peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling bulan lalu.

"Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat satu lagi pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 21 orang setakat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta perhimpunan tabligh meninggal dunia, angka korban Covid-19 kini 20 orang

ARTIKEL BERKAITAN: Nurse menitik air mata! Dedah keadaan mengejutkan di wad pesakit tabligh, tersentak dengar soalan mereka - “Tahu tak dalam tu semua ilmu agama tinggi”

"Pesakit merupakan peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling. Pesakit disahkan meninggal dunia pada pukul 4 pagi (Khamis) 26 Mac," katanya menerusi posting di halaman Facebook beliau, pagi Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-21 iaitu kes ke-1588, merupakan warga Malaysia berusia 63 tahun dengan latar belakang penyakit kronik. 

Beliau menambah, pesakit telah mula bergejala dan hadir menjalani saringan pada 22 Mac. 

"Hasil ujian pengesahan Covid-19 didapati positif dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 23 Mac," katanya sambil menambah, kesihatan pesakit merosot sebelum disahkan meninggal dunia pada pagi Khamis.

Terdahulu, seorang pesakit Covid-19 yang merupakan peserta perhimpunan tabligh meninggal dunia pada pukul 4.35 petang Rabu, menjadikannya sebagai kematian ke-20.

Sebanyak 1,796 kes positif Covid-19 direkodkan setakat Rabu, dengan pertambahan 172 kes baharu.


tabligh, kematian, Covid-19

Artikel Lain